Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZulhijah merupakan bulan mulia, terutamanya pada sepuluh hari terawalnya yang menjadi waktu paling disukai oleh Allah SWT untuk hamba-Nya beramal soleh. Satu daripada harinya yang istimewa termasuklah Hari Arafah pada 9 Zulhijah, hari yang mustajab untuk seseorang berdoa.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku untuk kamu, dan Aku meredai Islam itu sebagai agama kamu … .” (Surah al-Maidah 5:3).
Khutbah Wada‘ diriwayatkan berlaku pada hari Arafah 9 Zulhijah pada tahun kesepuluh Hijrah. Dipetik daripada kitab al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisham, Nabi Muhammad SAW memulakan khutbah dengan tanda-tanda pengakhiran dan perpisahan. Sabda Baginda:
Maksudnya: “Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak tahu, barangkali aku tidak akan bertemu kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini selama-lamanya.”
Baginda menyambung sabdanya yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram (tidak boleh dilanggar) ke atas kamu sehingga kamu bertemu Tuhan kamu, sebagaimana sucinya hari kamu ini dan sucinya bulan kamu ini. Sesungguhnya kamu akan bertemu Tuhan kamu, lalu Dia akan menyoal kamu tentang amalan kamu. Sesungguhnya aku telah menyampaikan.
Maka itu, sesiapa yang mempunyai amanah, hendaklah dia menunaikannya kepada orang yang mempercayakannya. Sesungguhnya segala riba dihapuskan, tetapi kamu berhak atas pokok harta kamu; kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi. Allah SWT telah menetapkan bahawa tiada riba, dan riba al-Abbas bin Abdul Muttallib dihapuskan seluruhnya.
Sesungguhnya segala tuntutan darah pada zaman jahiliah dihapuskan, dan darah pertama yang aku hapuskan ialah darah anak Rabi‘ah bin al-Harith bin Abdul Muttallib. Dia dahulu disusukan dalam kalangan Bani Laits, lalu dibunuh oleh Huzail. Maka itulah yang pertama aku mulakan daripada penghapusan darah jahiliah.
Adapun selepas itu, wahai manusia, sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk disembah di bumi kamu ini selama-lamanya. Akan tetapi, jika dia ditaati dalam perkara selain itu, maka dia reda dengannya daripada perkara kecil yang kamu anggap remeh. Maka itu, berhati-hatilah terhadapnya demi agama kamu.
Wahai manusia, sesungguhnya penangguhan bulan (nasi’a) itu adalah penambahan dalam kekufuran; orang kafir disesatkan dengannya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka menyesuaikan bilangan apa-apa yang diharamkan oleh Allah SWT, lalu mereka menghalalkan apa-apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan mengharamkan apa-apa yang dihalalkan oleh Allah SWT.
Adapun selepas itu, wahai manusia, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka juga mempunyai hak atas kamu. Hak kamu atas mereka ialah mereka tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci berada di tempat tidur kamu, dan mereka tidak melakukan perbuatan keji yang nyata. Jika mereka melakukannya, maka Allah SWT mengizinkan kamu menjauhi mereka di tempat tidur dan memukul mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka berhenti, maka mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian secara baik.
Berpesanlah kamu tentang wanita dengan kebaikan kerana mereka berada dalam tanggungan kamu dan tidak memiliki apa-apa untuk diri mereka. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah SWT dan kamu menghalalkan mereka dengan kalimah Allah SWT.
Maka itu, fahamilah wahai manusia, akan kata-kataku. Sesungguhnya aku telah menyampaikan. Aku telah meninggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab Allah SWT dan sunah Nabi.
Wahai manusia, dengarlah kata-kataku dan fahamilah. Ketahuilah bahawa setiap Muslim ialah saudara bagi Muslim yang lain, dan orang Muslim itu bersaudara. Maka itu, tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu daripada saudaranya kecuali dengan kerelaannya. Oleh itu, janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri.”
Pesanan Nabi Muhammad SAW diringkaskan kepada lapan perkara seperti yang berikut:
Islam sangat memelihara hak manusia. Oleh sebab itu, Islam meletakkan keamanan sebagai asas pembinaan masyarakat. Nyawa, harta benda dan kehormatan seseorang tidak boleh dicerobohi. Membunuh, merompak, menipu, memfitnah dan mencemarkan nama baik ialah dosa besar.
Amanah ialah asas kepada kesempurnaan iman dan akhlak seseorang Muslim. Oleh itu, umat wajib menunaikan hak yang diamanahkan kepada ahlinya dengan jujur kerana mengabaikan tanggungjawab merupakan suatu bentuk pengkhianatan.
Ajaran Islam menghapuskan segala bentuk kezaliman, penindasan, taasub kepada kaum, adat yang bercanggah dengan syariat, serta budaya yang merosakkan akhlak. Antara bentuk kezaliman yang dihapuskan oleh Islam termasuklah berbunuhan membalas dendam dan amalan riba.
Syaitan ialah musuh utama manusia. Syaitan akan sentiasa cuba mempengaruhi manusia untuk melakukan kejahatan, permusuhan dan kemaksiatan yang akan menjerumuskan seseorang ke lembah kerosakan.
Perkara halal dan haram ialah hak Allah SWT. Islam ialah satu-satunya agama yang menjaga fitrah kemanusiaan. Islam tidak akan menghalalkan perkara yang mendatangkan mudarat kepada manusia, dan tidak pula mengharamkan perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia.
Isteri merupakan amanah Allah SWT, dan Dia memerintahkan agar suami menggauli isteri dan memperlakukannya dengan makruf (baik) serta menjaga hak-hak isteri.
Al-Quran dan sunah Rasulullah SAW wajib dijadikan rujukan utama dan pegangan dalam urusan kehidupan seharian.
Persaudaraan sesama umat Islam wajib dipelihara dan merupakan asas utama yang menyatukan umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit atau sempadan negara.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 22 Mei 2026, bertajuk “Khutbah Wada‘: Wasiat Terakhir Nabi buat Umat”.