Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Negara menetapkan tarikh 16 Mei sebagai sambutan Hari Guru, bertujuan untuk menghargai jasa, khidmat bakti, dan pengorbanan yang diabadikan oleh guru bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, mendidik, membimbing dan mengasuh anak didik mereka; juga menghormati peranan guru membina insan berilmu dan bertakwa sehingga menjadi khazanah berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Guru diumpamakan penyambung risalah Rasulullah SAW. Guru ialah insan mulia yang sangat besar jasanya kepada kita. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan kamu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhan kamu, Dialah yang lebih mengetahui tentang sesiapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl 16:125).

Puisi bertajuk “Obor Hemah” nukilan sasterawan negara A. Samad Said, pada tahun 1988, secara khusus melahirkan kata-kata yang menyanjung khidmat para guru, melalui bait-bait indah yang menggambarkan guru sebagai;

awan indah terbang rendah
melimpahkan hujan pada musim gersang
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah
guru …
kitab sejarah dalam bilik darjah
penelaah yang tekun
mewariskan dunia sebagai kutub khanah
menyediakan kutub khanah kepada dunia
guru … minda segar dan kukuh akar
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih
guru adalah batin suci hati nurani
pengunjung budi, manusia yang takwa
obor hemah kehidupan bangsa.

Bait-bait dalam puisi tersebut menggambarkan guru sebagai insan mulia yang menyemai ilmu, membentuk insan, dan menjadi pelita yang menyalakan obor kehidupan bangsa. Guru dipuji sebagai penyegar ilmu yang senantiasa tenang, tekun dan mendidik dengan kasih sayang.

Guru yang paling agung ialah Rasulullah SAW. Baginda mendidik para sahabat secara berhikmah; mendidik bukan dengan kekerasan, tetapi dengan akhlak yang luhur, kesabaran dan kebijaksanaan sehingga lahir generasi terbaik.

Rasulullah SAW membetulkan kesalahan tanpa memalukan, menegur tanpa merendahkan, dan mendidik tanpa mematahkan jiwa. Lembut pada masanya dan tegas pada tempatnya. Pendekatan Rasulullah SAW merupakan kaedah didikan berhikmah, selaras dengan ayat 125 Surah al-Nahl, lalu berjaya melahirkan manusia yang sejahtera dunia dan akhirat.

Seruan hikmah pada ayat tersebut mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan guru kerana tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, bahkan membimbing manusia ke arah mengenal kebaikan dan mencapai kesejahteraan yang dibina melalui didikan berhikmah.

Yang berikut lima ciri guru berhikmah:

  • Pertama: Kejayaan menggabungkan ilmu dan akhlak, mempamerkan sikap ilmuwan, serta mendidik dengan kebijaksanaan mengimbangi pembangunan rohani dan jasmani juga keperluan duniawi dan ukhrawi.
  • Kedua: Mendidik dengan ikhlas, beramanah, bersifat penyabar, penyayang dan adil.
  • Ketiga: Prihatin dan peka akan keperluan murid; bijak mengenal pasti tahap keupayaan, minat, bakat dan kecenderungan pelajar yang berbeza-beza dan pelbagai, lalu menggunakan pendekatan yang sesuai agar tiada pelajar yang tercicir. Setiap pelajar diasuh, dibimbing dan diberikan dorongan berdasarkan minat, bakat dan kecenderungan masing-masing.
  • Keempat: Sentiasa bersedia meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran; berani menerokai bidang baharu yang dapat membantu mengemaskinikan kaedah pengajaran berteraskan teknologi moden.
  • Kelima: Tidak hanya menyasarkan kecemerlangan pencapaian akademik, tetapi memastikan anak didik cemerlang sahsiah, stabil emosi, dan menjadi warga yang memiliki jati diri.

Sesungguhnya, guru yang mendidik secara berhikmah berupaya menghasilkan warga yang berhikmah, berilmu dan beradab, berupaya menjaga hubungan baik sesama manusia dan alam. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya sikap lemah lembut (pendekatan berhikmah) tidak ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (menjadikannya indah).” (Hadis riwayat Muslim, no. 2594).

Bersempena dengan sambutan Hari Guru, umat Islam diingatkan tentang tiga perkara yang berikut:

  • Pertama: Islam mengangkat tinggi martabat guru, meletakkan guru bertaraf mulia sesuai dengan kedudukan ilmu; mualim dan murabbi yang memikul amanah untuk mencerahkan minda, menyampaikan ilmu dan membina insan sejahtera.
  • Kedua: Hargailah guru-guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita. Tunjukkan adab berterima kasih kepada guru dengan menghormati mereka dan menghargai jasa mereka, serta mendoakan kesejahteraan mereka. Jadikan iktibar bait-bait yang terkandung dalam puisi “Guru! Oh Guru” nukilan Sasterawan Negara Usman Awang. Antara bait yang dinukilkan menghormati dan menghargai guru termasuklah:

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalir nasihat.

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya, mengajar tulis baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

  • Ketiga: Ummah hendaklah bersama-sama bersedia berganding bahu dan memberikan sokongan kepada guru dalam usaha mewujudkan warga yang berilmu, berpengetahuan, memiliki jati diri dan berketerampilan, lantas berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara.

Terima kasih, cikgu yang telah berperanan sebagai ibu, bapa dan sahabat. Semoga khidmat bakti cikgu dikurniakan ganjaran dunia dan akhirat.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 15 Mei 2026, bertajuk “Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi