Diterbitkan pada 10 Mei 2026, 07:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Program “Telaah Ensiklopedia Hadis Nilai (Mawsu’ah Ahadith al-Qiyam)” yang berlangsung di Surau SMK Kompleks Seberang Takir malam semalam menjadi wadah penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai akhlak, kekeluargaan dan kemasyarakatan berteraskan hadis Rasulullah SAW.

Program yang bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-70 itu menampilkan moderator, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Terengganu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin bersama tiga panel, iaitu Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, YBrs. Profesor Madya Dr. Zawawi Ismail serta Pengerusi Nadwah Ulama Malaysia, YBrs. Ustaz Mohd Zamani Ismail.

Dalam perkongsiannya, YBrs. Ustaz Mohd Zamani menekankan kepentingan nilai birrul walidain atau berbuat baik kepada ibu bapa yang menurutnya semakin terhakis dalam kalangan masyarakat moden akibat pengaruh teknologi dan permainan digital.

Beliau berkongsi pengalaman peribadi tentang pengorbanan dan layanan terhadap ibu sebagai contoh penghayatan akhlak Islam.

“Menggembirakan hati ibu bapa merupakan nilai akhlak qiyam yang perlu disemat kembali dalam kehidupan masyarakat pada hari ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam bukan sahaja melarang anak berkata kasar kepada ibu bapa, malah melarang sikap bermasam muka dan mengabaikan mereka demi hiburan atau permainan dalam talian.

Dalam masa sama, beliau turut mengaitkan isu keruntuhan nilai akhlak dengan peningkatan gejala sosial dan jenayah yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini.

Sementara itu, YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin menjelaskan bahawa ensiklopedia tersebut merupakan karya tokoh ulama hadis dunia dari Jordan, Sheikh Dr. Hammam Said, yang menghimpunkan 3788 hadis dalam empat jilid meliputi 11 tema utama kehidupan.

Menurut beliau, kitab itu kini sedang diterjemahkan oleh DBP dengan sokongan peruntukan sebanyak RM1.6 juta yang disediakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau menerima sendiri kitab tersebut daripada Sheikh Dr. Hammam Said ketika menziarahi tokoh itu di Amman, Jordan pada tahun 2022 sebelum membawa pulang hasrat supaya karya berkenaan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu demi manfaat masyarakat Nusantara.

“Kitab ini menghimpunkan nilai keimanan, kemasyarakatan, akhlak, politik, ekonomi, sains, kesihatan, alam sekitar dan emosi berdasarkan hadis Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa antara hasrat awal Timbalan Perdana Menteri ialah menjadikan karya tersebut sebagai bahan bacaan wajib di institusi pendidikan di bawah seliaannya termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Dalam sesi kupasan lain, YBrs. Profesor Madya Dr. Zawawi pula menekankan bahawa nilai Islam perlu difahami berdasarkan konteks dan situasi semasa, bukannya secara literal semata-mata.

Beliau memberi contoh bagaimana Rasulullah SAW memberikan jawapan berbeza kepada sahabat yang bertanya tentang amalan terbaik mengikut keadaan individu masing-masing.

“Nilai itu tetap sama, tetapi pelaksanaannya bergantung pada konteks kehidupan seseorang,” jelasnya.

Beliau turut menghuraikan konsep birrul walidain melalui contoh kehidupan harian seperti mengutamakan kehendak ibu bapa dalam perkara kecil sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.

Penganjuran program berkenaan dilihat sebagai usaha memperluas penghayatan hadis dalam kehidupan masyarakat sekali gus memperkukuh pembinaan sahsiah dan nilai kemanusiaan berteraskan ajaran Islam.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi