Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap tahun pada 1 Mei, dunia menyambut Hari Pekerja sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan golongan pekerja dalam usaha membangunkan masyarakat dan negara. Namun begitu, dalam kerangka Islam, pekerjaan bukan sekadar usaha mencari rezeki, bahkan memiliki kedudukan yang tinggi sebagai suatu bentuk ibadah dan tanggungjawab.
Islam memandang pekerjaan sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Manusia diciptakan untuk berusaha, berikhtiar dan memakmurkan bumi, bukan untuk hidup dalam kemalasan atau bergantung sepenuhnya pada orang lain. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan ada pula orang lain yang berjalan di muka bumi untuk mencari kurnia Allah.” (Surah al-Muzzammil 73:20)
Syeikh al-Sa‘di ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa ayat tersebut merujuk golongan yang bermusafir untuk berniaga dan mencari rezeki agar mereka dapat berdikari dan tidak bergantung pada orang lain. Islam turut mengambil kira kesusahan yang dihadapi oleh golongan ini dengan memberikan keringanan dalam ibadah, seperti dibolehkan menghimpunkan solat dan memendekkannya ketika bermusafir. Hal ini menunjukkan bahawa usaha mencari rezeki merupakan suatu keperluan yang diiktiraf dan dimuliakan dalam Islam.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa usaha mencari rezeki bukan sahaja diiktiraf, bahkan dianjurkan dalam Islam. Hal ini menggambarkan bahawa pergerakan manusia untuk bekerja, berniaga dan mencari sumber kehidupan menjadi sebahagian daripada sunnatullah bagi mengatur kehidupan.
Lebih daripada itu, pekerjaan dalam Islam bukan sekadar memenuhi keperluan diri, malah turut berperanan membina kestabilan keluarga, menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, serta memakmurkan kehidupan secara keseluruhan. Oleh itu, setiap usaha yang dilakukan secara halal dan disertai niat yang ikhlas akan dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT.
Kerja sebagai Ibadah dan Kemuliaan
Islam mengangkat pekerjaan pada kedudukan yang mulia. Pekerjaan bukan sekadar aktiviti duniawi, bahkan boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat yang betul.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada seorang pun yang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada memakan hasil usaha tangannya sendiri … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2072).
Hadis ini menegaskan bahawa rezeki yang diperoleh melalui usaha sendiri adalah yang paling baik dan paling diberkati. Sabda tersebut juga mengandungi galakan agar seseorang berusaha dan berdikari, serta tidak bergantung pada orang lain tanpa keperluan.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jika seseorang keluar bekerja untuk menyara anak-anaknya yang kecil, maka dia berada pada jalan Allah. Jika dia keluar untuk menyara kedua-dua ibu bapanya yang tua, maka dia berada pada jalan Allah. Jika dia keluar untuk menjaga dirinya daripada meminta-minta, maka dia berada pada jalan Allah. Namun begitu, jika dia keluar kerana riyak dan berbangga-bangga, maka dia berada pada jalan syaitan.” (Hadis riwayat al-Tabarani, no. 282).
Para ulama menjelaskan bahawa frasa “pada jalan Allah” dalam hadis ini bukan terbatas kepada jihad di medan perang, tetapi meliputi segala usaha yang dilakukan dalam rangka ketaatan kepada-Nya. Seseorang yang bekerja untuk menanggung anak-anak yang masih kecil atau ibu bapa yang lemah, hakikatnya sedang melaksanakan tanggungjawab besar yang dituntut oleh agama.
Selain itu, hadis ini juga menekankan konsep ta‘affuf (memelihara diri daripada meminta-minta). Usaha untuk berdikari dan tidak bergantung pada manusia memiliki nilai yang tinggi dalam Islam. Sebaliknya, jika pekerjaan dilakukan dengan tujuan riyak, berbangga-bangga atau semata-mata mengejar kemegahan dunia, maka akan hilanglah nilai ibadah, bahkan boleh menjadi jalan kepada kebinasaan. Hal ini menunjukkan bahawa pekerjaan yang sama boleh menjadi ibadah atau sebaliknya, bergantung pada niat dan tujuan di sebaliknya.
Islam Menggalakkan Usaha dan Berdikari
Islam sangat menekankan sikap berdikari dan menjauhi sifat meminta-minta. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seseorang kamu mengambil tali lalu pergi ke gunung, membawa pulang seikat kayu di belakangnya lalu menjualnya sehingga Allah menjaga maruahnya, itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1471).
Hadis ini menegaskan bahawa Islam mengangkat maruah manusia melalui usaha dan kerja, walaupun pekerjaan itu kelihatan sederhana atau berat. Perbuatan mengumpul kayu api dan menjualnya mungkin dianggap pekerjaan kecil, namun tetap lebih mulia kerana dilakukan dengan usaha sendiri dan tidak merendahkan diri di hadapan manusia.
Selain itu, hadis ini juga menggambarkan bahawa kesusahan ketika bekerja jauh lebih baik daripada kehinaan meminta-minta. Seseorang yang berusaha, walaupun dengan kerja yang berat, tetap memelihara maruah dan harga dirinya, berbanding dengan orang yang memilih jalan mudah dengan bergantung pada orang lain.
Tanggungjawab dan Etika Ketika Bekerja
Selain menggalakkan umatnya bekerja, Islam juga menetapkan adab dan etika dalam pekerjaan, antaranya termasuklah amanah, kejujuran, kesungguhan dan sifat itqan (ketekunan). Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh (itqan).”
Hadis ini menuntut setiap manusia agar melakukan pekerjaan dengan kualiti yang terbaik. Konsep itqan merujuk kesungguhan ketika melaksanakan sesuatu tugas dengan sempurna, tepat dan penuh tanggungjawab, tanpa sikap sambil lewa.
Dalam konteks ini, kerja yang dilakukan secara tekun bukan sahaja memberikan manfaat terhadap diri sendiri, bahkan memudahkan urusan orang lain dan meningkatkan kepercayaan dalam masyarakat. Sifat itqan juga menjadi sebab kepada keberkatan dalam rezeki serta penerimaan amal di sisi Allah SWT.
Hak Pekerja yang Dijaga oleh Islam
Islam bukan sahaja menggalakkan seseorang bekerja, bahkan memberikan penekanan yang sangat tegas dalam penjagaan hak pekerja. Keadilan dalam urusan pekerjaan bukan sekadar nilai sosial, tetapi merupakan tuntutan agama yang berkaitan rapat dengan dosa dan pahala.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud, “Allah berfirman, Tiga golongan yang Aku akan menjadi musuh mereka pada hari kiamat: Seseorang yang berjanji atas nama-Ku kemudian mengkhianatinya; seseorang yang menjual orang merdeka lalu memakan hasil jualannya; dan seseorang yang mengupah pekerja, mengambil manfaat daripadanya, tetapi tidak membayar upahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2227).
Hadis ini mengandungi amaran yang sangat keras apabila Allah SWT sendiri menjadi “musuh” kepada seseorang pada hari kiamat. Hal ini menunjukkan betapa besar dan beratnya dosa tersebut. Antara golongan yang disebut termasuklah majikan yang menzalimi pekerja dengan tidak membayar upah setelah mengambil hasil kerja mereka.
Perkara ini menunjukkan bahawa Islam meletakkan hak pekerja sebagai amanah yang wajib ditunaikan. Mengambil tenaga seseorang tanpa memberikan haknya bukan sahaja satu kezaliman sosial, bahkan termasuk dalam dosa besar di sisi Allah SWT.
Lebih daripada itu, hadis ini juga menegaskan bahawa hubungan antara majikan dengan pekerja perlu dibina atas dasar amanah, keadilan dan ihsan. Pekerja memberikan tenaga dan usaha dengan kepercayaan, maka majikan wajib menunaikan hak tersebut dengan jujur dan amanah.
Hari Pekerja bukan sekadar hari penghargaan terhadap tenaga kerja, tetapi peluang untuk kita merenung semula kedudukan kerja dalam kehidupan menurut perspektif Islam. Dalam Islam, pekerjaan dilakukan bukan hanya untuk mencari rezeki, bahkan merupakan suatu ibadah, sumber maruah dan jalan menuju keberkatan.
Kerjaya yang dimiliki menjadi medan untuk seseorang membina diri, menyara keluarga, serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.