Diterbitkan pada 24 April 2026, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada 1 April 2026, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menyambut ulang tahun ke-80 sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus pendaftaran kenderaan, pelesenan pemandu dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya di Malaysia. Sambutan ini menandakan lapan dekad peranan JPJ bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta memodenkan sistem pengangkutan negara.

Sesungguhnya Islam ialah agama yang amat mementingkan keselamatan nyawa manusia. Dalam maqasid syariah, pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) merupakan antara matlamat utama syarak selepas pemeliharaan agama.

Kewujudan undang-undang jalan raya serta agensi penguatkuasaan seperti JPJ bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya merupakan suatu bentuk siasah syariah, iaitu pentadbiran berteraskan syarak demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan umum.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan … .” (Surah al-Baqarah 2:195).

Ayat ini secara nyata melarang kita melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Dalam hubungan jalan raya, memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu tanpa lesen yang sah merupakan antara perbuatan yang mendekatkan diri dengan kebinasaan.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada tahun 2025, lebih setengah juta kemalangan berlaku di jalan raya sehingga mengakibatkan 6537 kematian.

Selain membahayakan nyawa dan hak orang lain, kesalahan jalan raya turut membawa kerugian besar kepada negara. Berdasarkan angka kematian dan kecederaan parah akibat daripada kemalangan jalan raya, negara dianggarkan mengalami kerugian hampir 18 bilion ringgit pada tahun 2010, bersamaan dengan 2.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jumlah ini meningkat kepada lebih 25 bilion ringgit pada tahun 2023 akibat daripada kos rawatan kemalangan, kehilangan produktiviti, serta kerosakan harta benda.

Tindakan mematuhi undang-undang jalan raya bukan sahaja menepati prinsip maqasid syariah, bahkan turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Islam ialah agama yang sangat tegas dalam perkara keselamatan. Allah SWT menurunkan syariat bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi untuk memelihara kehidupan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’ 4:59).

Apabila kerajaan menetapkan peraturan kenderaan dan tatacara pemanduan, tujuannya adalah untuk ketertiban dan keselamatan. Oleh itu, mematuhinya dengan niat menjaga keselamatan diri sendiri serta keselamatan orang lain, insya-Allah akan dicatat sebagai amal soleh dan ibadah.

Para pemandu perlu memberikan perhatian serius terhadap tiga perkara yang berikut:

  1. Diri, iaitu kesiapsiagaan semasa memandu, pematuhan kepada semua peraturan jalan raya, dan sikap positif dalam perjalanan;
  2. Kenderaan yang menepati segala peraturan teknikal; memastikan keselamatan dan keselesaan semasa perjalanan;
  3. Dokumen yang lengkap seperti lesen, perlindungan takaful, cukai jalan dan permit yang berkenaan.

Dalam kerangka maqasid syariah, antara tujuan utama syariat Islam termasuklah hifz al-nafs, iaitu menjaga dan memelihara nyawa manusia kerana nyawa bukan milik kita secara mutlak. Nyawa merupakan satu daripada amanah Allah SWT yang wajib dipelihara.

Setiap undang-undang jalan raya yang digubal seperti penetapan had laju, kewajipan pemakaian topi keledar dan tali pinggang keselamatan; larangan melanggar lampu isyarat merah, memotong barisan, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu; semuanya selari dengan maqasid syariah. Perkara tersebut bukan sekadar peraturan pentadbiran, bahkan merupakan instrumen syarak untuk mencegah kemudaratan.

Kaedah fiqh menyebut:

Maksudnya: “Menolak kemudaratan didahulukan daripada mengambil manfaat.”

Jika pemanduan laju hanya memberikan kepuasan sementara tetapi berisiko meragut nyawa, maka Islam mendahulukan pencegahan mudarat daripada berlaku.

Muslim yang sejati bukan hanya dikenali melalui solat dan ibadahnya, tetapi melalui akhlaknya dalam kehidupan bermasyarakat; dan sifat mematuhi undang-undang jalan raya merupakan cerminan disiplin, tanggungjawab, serta ihsan terhadap diri sendiri dan orang lain. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2341).

Hadis tersebut meletakkan asas bahawa setiap tindakan kita hendaklah bebas daripada unsur yang membahayakan diri serta orang lain, termasuk ketika berada di jalan raya.

Oleh itu marilah kita memperbaharu adab kita di jalan raya; memulakan perjalanan dengan doa agar perjalanan kita diberkati; mengamalkan sikap bertolak ansur dan sabar supaya emosi tidak menguasai diri sehingga mendorong pergaduhan atau perbuatan membuli di jalan raya; serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebagai sebahagian daripada ikhtiar sebelum kita bertawakal kepada Allah SWT.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 24 April 2026, bertajuk “Pematuhan Undang-undang Jalan Raya: Amanah Nyawa, Tanggungjawab Iman”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi