Diterbitkan pada 13 April 2026, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan keseimbangan antara penguasaan ilmu moden dengan pembentukan akhlak dalam sistem pendidikan negara. 

Menurut beliau, usaha memperkasakan pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik dan kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu digandingkan dengan pembinaan nilai kemanusiaan dan adab yang kukuh.

“Dunia hari ini menyaksikan perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), namun pada masa yang sama kita berdepan dengan krisis nilai apabila mutu keinsanan atau semakin terhakis,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra MADANI Bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, hari ini.

Beliau turut menyentuh perkembangan global yang memperlihatkan ketidakseimbangan antara kemajuan ilmu dengan nilai kemanusiaan, termasuk konflik antarabangsa yang mencerminkan hilangnya adab dan akhlak dalam kalangan manusia.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan di bawah Kerajaan MADANI perlu berteraskan prinsip keseimbangan antara pencapaian ilmu dengan pemupukan nilai insan atau karamah insaniah.

“Dalam kita menggapai kemajuan teknologi, jangan kita tinggalkan asas kita.

“Kita mesti berakar di bumi dengan akidah, akhlak dan sahsiah yang kukuh, sambil menggapai ke langit untuk menguasai ilmu dan teknologi baharu,” ujarnya.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa Malaysia masih mempunyai kekurangan dalam bidang sains dan teknologi, justeru usaha memperkukuh penguasaan dalam bidang tersebut perlu dipergiatkan, termasuk dalam kalangan pelajar institusi agama seperti sekolah aliran agama, tahfiz dan pondok.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa penguasaan teknologi tanpa nilai akhlak akan membawa kepada kerosakan dan ketidakadilan dalam masyarakat.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar turut mengimbas sejarah penjajahan sebagai peringatan tentang kepentingan mempertahankan jati diri dan nilai budaya.

Beliau menjelaskan bahawa penjajah bukan sahaja menguasai wilayah, tetapi turut melemahkan roh dan semangat perjuangan masyarakat tempatan melalui sistem pendidikan dan budaya.

Menurut beliau, institusi seperti pondok di Malaysia, pesantren di Indonesia dan zawiyah di dunia Arab memainkan peranan penting sebagai benteng bagi mempertahankan akidah dan identiti umat suatu ketika dahulu.

“Institusi ini menjadi kekuatan utama untuk mempertahankan roh perjuangan dan nilai Islam ketika sistem lain tunduk kepada penjajah,” katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perubahan zaman menuntut institusi tersebut turut melakukan penyesuaian agar tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.

“Jika kita tidak berubah mengikut keperluan semasa, kita akan tewas. Kita tidak boleh hanya kekalkan sistem sedia ada tanpa memperkukuhnya dengan ilmu baharu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar institusi pondok dan tahfiz menambah baik penguasaan bahasa serta memperkenalkan elemen teknologi maklumat dan kecerdasan buatan dalam sistem pembelajaran mereka.

Penguasaan bahasa selain bahasa Arab dan Melayu, termasuk bahasa Inggeris perlu ditingkatkan, begitu juga kemahiran teknologi.

“Kita tidak mahu pelajar tahfiz ketinggalan dalam bidang ini,” ujarnya.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam aspek kurikulum tradisional institusi tersebut, sebaliknya hanya membantu dari segi penambahbaikan dan sokongan infrastruktur.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM34.81 juta pada tahun 2025 bagi menaik taraf prasarana institusi pondok dan tahfiz di seluruh negara.

Bagi negeri Terengganu sahaja, sebanyak 18 projek telah diluluskan pada tahun ini dengan kos keseluruhan bernilai RM1.8 juta.

Beliau berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan bagi memperkasakan pendidikan agama tanpa mengabaikan keperluan semasa.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru para pelajar tahfiz agar terus berusaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh, serta mengekalkan jati diri dan nilai akhlak yang tinggi.

Kredit Foto: Media Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi