Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 07:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menyalurkan sumbangan kelengkapan ibadah kepada dua buah masjid di sekitar Mata Ayer pada Khamis.

Sumbangan bersempena dengan bulan Ramadan itu merangkumi naskhah al-Quran, rehal, telekung serta buku komik Ana Muslim khusus buat kegunaan jemaah di Masjid As-Sobirin Kampung Gial dan Masjid Al-Rashid Kubang Perun.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail kepada wakil kedua-dua buah masjid berkenaan dalam Program Sinar Kasih Ramadan Tahun 2026.

Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha menyemai semangat bersedekah dalam kalangan warga akademik, di samping menzahirkan keprihatinan terhadap institusi masjid dengan menyantuni komuniti setempat.

Wakil Masjid As-Sobirin Kampung Gial (dua dari kiri) menerima sumbangan yang disampaikan oleh Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail (dua dari kanan).

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim berkata, penganjuran program berkenaan menjadi simbol komitmen fakulti untuk terus memupuk budaya kebajikan serta memperkukuh jalinan hubungan antara pihak universiti dengan masyarakat awam.

“Amalan bersedekah merupakan nilai penting dalam Islam yang bukan sahaja membantu memenuhi keperluan masyarakat, malah menyuburkan rasa kasih sayang serta kebersamaan dalam kalangan ummah,” katanya.

“Kami berharap agar sumbangan al-Quran, rehal dan telekung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para jemaah untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti ibadah,” tambahnya lagi.

Ujar beliau, masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, sebaliknya turut berperanan penting sebagai pusat pembinaan akhlak, keilmuan dan perpaduan masyarakat.

Sementara itu, Penyelaras Program, YBrs. Encik Muhammad Syukri Noor Azman menjelaskan bahawa usaha tersebut digerakkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial warga universiti untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Tegas Muhammad Syukri, inisiatif seumpama itu turut mencerminkan nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan yang menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat Muslim yang sejahtera.

“Melalui penyerahan sumbangan ini, kami berharap agar semangat sikap memberi dapat dipupuk dalam kalangan warga universiti dan komuniti.

“Walaupun sumbangan ini dilihat sederhana, manfaatnya akan menjadi amal jariah yang berpanjangan jika digunakan secara berterusan oleh para jemaah,” kata beliau.

Pada masa yang sama, penganjuran program itu merupakan manifestasi aspirasi universiti bagi melahirkan warga akademik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang keilmuan, malah memiliki kepekaan sosial serta komitmen terhadap pembangunan masyarakat.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi