Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pemikir dan tokoh peradaban Islam kontemporari, Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.47 petang Ahad, ketika berusia 94 tahun.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) pada pagi Isnin, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Berita duka mengenai pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan menerusi satu hantaran pada laman Instagram rasmi beliau.
Dalam hantaran tersebut, beliau menyifatkan bahawa pemergian almarhum bukan sekadar kehilangan susuk tubuh seorang tokoh, bahkan menandakan hilangnya sebutir permata ilmu yang tidak ternilai bagi seluruh umat Islam.
“Almarhum dikenali sebagai mujaddid, pemikir, ilmuwan yang menyalakan kembali obor ilmu dan adab dalam dunia Islam,” ujarnya.
Tambah beliau, antara sumbangan terbesar Allahyarham termasuklah penubuhan organisasi penting seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC).
Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut dikenali menerusi gagasan beliau terhadap islamisasi ilmu merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi dan sastera.
Kehebatan dan ketajaman pemikiran Allahyarham turut diiktiraf apabila karya beliau yang menyentuh perihal keagamaan seperti Islām: Faham Agama dan Asas Akhlak (1977), Islam and Secularism (1978), The Concept of Education in Islam (1980), Islam and the Philosophy of Science (1989) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (2001) kekal menjadi rujukan utama para sarjana serta ahli akademik di pelbagai universiti dalam mahupun luar negara sehingga hari ini.
Allahyarham merupakan individu kedua yang menerima gelaran Profesor Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Negara pada 23 Oktober 2024 selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pada tahun 1978.