Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fath Makkah atau Pembebasan Kota Makkah berlaku susulan tindakan musyrikin Quraisy mengkhianati Perjanjian Hudaibiyah.

Pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah, Rasulullah SAW menghimpunkan sebanyak 10 000 orang sahabat dan bergerak dari Madinah secara terancang menuju ke Makkah. Rasulullah SAW tidak menyerang Makkah secara mengejut, sebaliknya memberikan peluang kepada penduduk Makkah untuk menyerah secara damai. Baginda berjaya membebaskan Makkah pada 20 Ramadan tahun ke-8 Hijrah secara aman tanpa pertumpahan darah.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa kamu, wahai Muhammad, berjaya menguasai Makkah). Dan kamu melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat.” (Surah al-Nasr 110:1–3).

Terdapat beberapa ibrah penting daripada peristiwa Fath Makkah, antaranya termasuklah:

  • Pertama: Perancangan dan tawakal asas kemenangan.

Perancangan Rasulullah SAW menjadi bukti bahawa kejayaan tidak datang hanya dengan tawakal, tetapi melalui strategi yang bijaksana. Baginda mengatur pergerakan tentera dengan disiplin, masuk dari pelbagai arah untuk mengelakkan pertumpahan darah, serta mengarahkan agar para sahabat tidak mengganggu orang awam. Langkah tersebut menunjukkan bahawa kemenangan Islam dibina atas asas hikmah, keadilan dan perancangan rapi.

Di sebalik strategi tersebut, Rasulullah SAW dan para sahabat tetap bertawakal penuh kepada Allah SWT. Mereka yakin bahawa pertolongan Allah SWT pasti tiba, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “… Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya … .” (Surah al-Talaq 65:3).

Gabungan antara usaha manusia dengan tawakal kepada Allah SWT menjadikan Pembebasan Kota Makkah berlaku dengan aman, sekali gus membuktikan bahawa tawakal ialah kekuatan rohani yang menyempurnakan perancangan.

  • Kedua: Kebijaksanaan kepemimpinan meraikan kemenangan dengan kerendahan hati dan kemaafan.

Rasulullah SAW tidak mengutamakan peristiwa penaklukan, tetapi amalan berorganisasi yang strategik. Baginda juga memperlihatkan contoh teladan pemimpin yang bijak, berjaya mengubah musuh menjadi sekutu, menyemai kepercayaan dalam kalangan pengikut, serta membentuk organisasi yang stabil dan berjaya.

Rasulullah SAW menunjukkan bahawa kemenangan sejati datang bersama-sama kerendahan hati. Baginda memasuki Makkah dengan kemenangan tanpa sifat angkuh, riak atau sombong. Baginda tidak berdendam, malah tunduk dan syukur kepada Allah SWT, pada masa yang sama menginsafi bahawa kejayaan merupakan amanah yang menuntut akhlak mulia, keadilan dan tanggungjawab.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim, no. no. 2588).

Rasulullah SAW juga mendidik bahawa sifat memaafkan lebih tinggi daripada sifat membalas dendam. Oleh itu, Baginda memaafkan penduduk Makkah yang pernah memusuhi dan menyakiti Baginda.

Prinsip ini selaras dengan maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 22, yang menyeru umat Islam agar berlapang dada dan memaafkan. Pengajarannya, masyarakat yang kuat tidak dibina dengan dendam, tetapi dengan kasih sayang, keadilan dan kemaafan.

  • Ketiga: Ketegasan menentang syirik dan kebatilan.

Walaupun Rasulullah SAW menunjukkan sifat pemaaf yang luar biasa terhadap penduduk Makkah, Baginda berpegang teguh pada prinsip tauhid tanpa sebarang tolak ansur. Setelah memasuki Masjidilharam, Baginda menghapuskan berhala di sekitar Kaabah, sambil mengisytiharkan kemenangan kebenaran ke atas kebatilan. Hal ini membuktikan bahawa kemaafan terhadap manusia tidak bermakna bersedia bertolak ansur terhadap kesesatan akidah.

Islam menuntut ketegasan dalam perkara prinsip, namun pada masa yang sama menganjurkan kelembutan dan hikmah dalam pendekatan yang digunakan. Akhlak mulia bukan alasan untuk menggadaikan keimanan, sebaliknya menjadi pelengkap kepada keteguhan akidah.

Pada hakikatnya, kemenangan Islam bersifat menyeluruh. Kemenangan ini bukan sekadar ketenteraan, tetapi kejayaan menegakkan tauhid, menampilkan akhlak mulia, serta memastikan syariat dilaksanakan dengan adil dan penuh rahmah. Di samping itu, peristiwa ini membuka ruang dakwah sehingga manusia menerima Islam dengan rela hati.

Umat Islam dituntut supaya berani mempertahankan kebenaran, menolak segala bentuk kemungkaran, serta menjauhkan diri daripada syirik dalam pelbagai wajah dan jelmaan baharu, termasuk pengagungan berlebih-lebihan terhadap harta, pangkat, jawatan dan pemimpin atau manusia.

  • Keempat: Menjelaskan kelonggaran berpuasa ketika melaksanakan jihad.

Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah SAW berbuka puasa dalam perjalanan menuju ke Makkah, di sebuah tempat bernama al-Kadid demi menjaga kekuatan mujahidin. Hal ini menunjukkan hikmah kepimpinan dan keseimbangan ibadah, serta tuntutan perjuangan dalam Islam.


Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 27 Februari 2026, bertajuk “Ibrah Pembebasan Kota Makkah”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi