Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 14:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.” – Buya Hamka

Kata-kata Hamka ini mengingatkan kita bahawa manusia, khususnya umat Islam, merupakan insan yang dimuliakan dan diberikan panduan khusus dalam bentuk syariat sebagai jalan hidup. Oleh itu, ibadah seperti puasa yang disyariatkan sepanjang bulan Ramadan ialah satu daripada manifestasi penting dalam kehidupan bersyariat umat Islam. Penulisan pada kali ini mengajak pembaca menghayati beberapa pengajaran penting daripada falsafah Ramadan.

 

Pertama: Puasa mendidik seseorang untuk menahan diri.

Puasa lazimnya diketahui sebagai tindakan menahan diri daripada makan dan minum, serta perkara yang boleh membatalkan puasa pada masa tertentu yang ditetapkan oleh syariat Islam. Sebenarnya, dalam kajian yang telah dilakukan terhadap amalan berlapar atau menahan diri daripada mengambil makanan dan minuman dalam waktu tertentu, puasa amat bermanfaat untuk sistem tubuh badan manusia.

Jika diperhatikan pada masa ini, para doktor akan menasihati pesakit yang bakal menjalani pembedahan atau prosedur tertentu supaya berpuasa selama beberapa jam sebelum rawatan dijalankan. Hal ini antaranya bertujuan mengurangkan risiko komplikasi semasa bius, serta memastikan proses rawatan berjalan dengan lebih selamat dan lancar.

Demikian juga daripada dapatan penelitian yang menyatakan bahawa dengan sebulan berpuasa seperti yang disyariatkan, memberikan ruang kepada sistem tubuh badan untuk “berehat” seketika dan memperbaik kerosakan kecil yang ada dalam tempoh tersebut. Oleh itu, puasa amat baik untuk kesihatan tubuh badan.

 

Kedua: Puasa mendidik insan untuk memelihara dan mengawal kehendak nafsu.

Runtunan nafsu bukan sekadar nafsu syahwat, malah melibatkan pelbagai kehendak  dan nafsu manusia, seperti nafsu makan dan minum, nafsu berpakaian serta nafsu kecantikan. Bukan semua kehendak nafsu itu salah, namun puasa membantu kita mengehadkan dan mengawal diri agar tidak hanyut menurut hawa nafsu semata-mata. Melalui ibadah puasa, kita dilatih untuk lebih berdisiplin dalam setiap tindakan.

Oleh itu, dalam syariat Islam, khususnya ketika berpuasa, kita diperintahkan supaya menjaga penglihatan daripada melihat perkara yang tidak baik, menahan tangan dan kaki daripada pergi ke tempat yang boleh membawa kepada dosa, memelihara lidah daripada kata-kata kesat atau sia-sia, serta menjaga hati daripada perasaan dan fikiran yang menyimpang daripada nilai mukmin yang sebenar. Melalui latihan ini, akan lahirlah insan yang bersih jiwanya dan tidak lagi dikuasai oleh hawa nafsu semata-mata.

Kata Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, nafsu ialah punca utama kepada kelalaian hati. Namun begitu, amalan berpuasa akan melemahkan dorongan syahwat, menguatkan kawalan akal terhadap pelbagai keinginan, serta membersihkan hati daripada kecenderungan yang berlebihan terhadap dunia.

Keadaan lapar ketika berpuasa dapat membantu melemahkan dorongan hawa nafsu dan mengurangkan godaan syaitan. Dalam Islam, syaitan digambarkan sangat dekat dengan manusia sehingga mampu mempengaruhi hati dan fikiran. Oleh itu, dengan menahan diri daripada makan dan minum, seseorang dapat melatih kesabaran, menguatkan jiwa, serta meningkatkan kemampuan untuk mengawal diri daripada melakukan perkara yang dilarang. Puasa sekali gus menjadi benteng rohani bagi seseorang untuk menghadapi godaan nafsu.

 

Ketiga: Peningkatan nilai ibadah sepanjang Ramadan.

Sesuatu yang sepatutnya diberikan perhatian serius dalam bulan Ramadan adalah tentang pelaksanaan lebih ibadah berbanding dengan bulan yang lain. “Lebih” yang dimaksudkan bukan sahaja merujuk peningkatan pahala, tetapi juga kepelbagaian bentuk ibadah yang dituntut untuk dilakukan.

Sebagai contoh, nilaian bagi ibadah puasa bersifat infiniti, iaitu kadar pahala ditentukan sepenuhnya oleh Allah SWT. Sedangkan ibadah yang lain, boleh digandakan pahala seminimum 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Demikian juga, amalan pada lailatulqadar mendapat gandaan pahala ibadahnya seperti beribadah selama 1000 bulan yang tidak ada pada mana-mana malam dan bulan yang lain.

Ibn Rejab al-Hanbali menyatakan dalam kitabnya, Lata’if al-Ma‘arif, Ramadan ialah musim keuntungan bagi orang beriman, iaitu sebagai “perdagangan yang menguntungkan” bagi sesiapa yang memanfaatkannya kerana amalan sunat diberikan ganjaran pahala seperti amalan wajib, manakala amalan wajib diberikan pahala berlipat kali ganda.

Oleh hal yang demikian, difahami bahawa dengan peningkatan ibadah dan peningkatan pahala di sisi Allah SWT, akan menjadikan seseorang lebih dekat kepada Allah SWT dan sentiasa dipelihara oleh-Nya. Demikian kekuatan penting dalam pembentukan jiwa seorang Muslim.

 

Keempat: Terdapat ibadah khusus yang tiada pada bulan lain.

Selain dijanjikan nilai ibadah yang berlipat kali ganda, bentuk  ibadah khusus juga perlu diberikan perhatian dalam bulan Ramadan, khususnya menghidupkan malam dengan amal ibadah seperti solat tarawih. Solat tarawih satu-satunya solat yang dikhususkan pelaksanaannya hanya dalam bulan Ramadan dan tidak ada dalam bulan lain. Pelaksanaan solat tarawih digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah di masjid atau di surau, serta berimamkan imam yang baik bacaannya.

Umat Islam juga digalakkan untuk menghidupkan malam pada bulan Ramadan, terutamanya pada 10 malam terakhir. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat lailatulqadar antara malam tersebut, iaitu malam yang penuh keberkatan dan lebih baik daripada seribu bulan, serta lebih utama berbanding dengan malam yang lain.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa Ramadan ialah madrasah tarbiah tahunan yang penting dalam pembentukan perubahan diri dan pembinaan akhlak, serta waktu terbaik untuk seseorang memperbanyak sedekah, tilawah al-Quran dan qiamullail. Seharusnya peningkatan ibadah pada bulan Ramadan akan memberikan kesan berpanjangan selepas bulan tersebut berakhir.

 

Kelima: Penghayatan nilai sedekah secara konsisten sepanjang Ramadan.

Pada bulan ini, umat Islam bukan sahaja digalakkan untuk bersedekah dalam bentuk wang, malah juga dalam pelbagai bentuk lain, misalnya menyediakan juadah berbuka puasa. Amalan menjamu orang yang berpuasa, sama ada dengan menyediakan makanan sendiri, membelinya, menganjurkan majlis berbuka puasa ataupun memberikan sumbangan bagi tujuan tersebut, merupakan amalan yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan.

Walaupun sekadar sebiji tamar untuk berbuka, ganjarannya tetap besar. Hal yang lebih menarik, sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa akan memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang tersebut. Kesempatan ini membuka ruang seluas-luasnya kepada umat Islam untuk menginfakkan sebahagian harta pada jalan Allah SWT dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Imam al-Ghazali menyatakan, “Tidak ada jalan untuk menyucikan hati daripada cinta harta melainkan dengan mengeluarkannya”, iaitu dengan maksud membelanjakan harta tersebut melalui amalan sedekah dan infak yang sewajarnya.

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam Zad al-Ma‘ad dan Madarij al-Salikin jelas menyatakan sedekah memberikan kesan luar biasa bagi menyucikan hati dan menghilangkan penyakit rohani seperti hasad, bakhil dan sombong.

Dr. Sa‘id Hawwa dalam Tazkiyat al-Nafs pula menyatakan sedekah ialah “senjata pembersih hati” yang memotong akar sifat egoisme. Oleh itu, saranan dalam penghayatan sedekah dengan memberi makan orang yang berpuasa dan juga menginfakkan sebahagian daripada harta akan mampu membangunkan kekuatan rohani seseorang secara jelas.

Bulan Ramadan mempunyai banyak keistimewaan yang tidak terdapat pada waktu lain. Allah SWT membuka pintu syurga pada bulan Ramadan, menyediakan pintu al-Rayyan khusus bagi orang yang berpuasa, dan membelenggu syaitan daripada menggoda manusia.

Oleh itu, marilah kita merebut peluang Ramadan yang dikurniakan pada tahun ini dengan memperbanyak amal ibadah. Segala pensyariatan dalam bulan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, malah membentuk kesihatan fizikal, ketenangan mental dan kekuatan rohani demi kebaikan diri dan insan di sekeliling kita.


Penulis ialah Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi