Diterbitkan pada 19 Februari 2026, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alam pekerjaan pada masa ini berhadapan dengan pelbagai tekanan seperti persaingan sengit, beban kerja yang tinggi, cabaran etika profesional dan krisis organisasi. Situasi ini menuntut pekerja agar tidak hanya memiliki kemahiran teknikal dan profesional, sebaliknya perlu disokong oleh kekuatan rohani dan moral untuk menghadapi tekanan harian dengan bijak dan berkesan.

Ramadan menjadi platform pembinaan personaliti dan profesionalisme pekerja melalui penerapan nilai Islam seperti amanah, keadilan, disiplin, ikhlas dan tanggungjawab. Penghayatan puasa memupuk ketakwaan, kesabaran, kawalan nafsu serta sikap bantu-membantu, sekali gus meningkatkan kualiti kerja, kompetensi dan keseimbangan rohani, jasmani serta sosial dalam organisasi secara menyeluruh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:183). Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa tujuan utama ibadah puasa adalah untuk membina ketakwaan dalamn diri. Ketakwaan yang dimaksudkan merangkumi pembangunan diri secara holistik.

Ayat tersebut juga menjelaskan bahawa ibadah puasa merupakan kewajipan bagi seluruh umat Islam dan berperanan penting dalam pembentukan peribadi yang seimbang dari segi rohani, jasmani, sosial, serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Selaras dengan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran Awam, ibadah pada bulan Ramadan mampu membantu penjawat awam dan pekerja menghayati nilai Islam ketika melaksanakan tugas harian.

Bagi menghadapi pelbagai cabaran, krisis dan tekanan di tempat kerja yang boleh mempengaruhi pembentukan sikap seseorang pekerja, Ramadan wajar dimanfaatkan sebagai platform untuk membina serta memperkukuh akhlak dan disiplin diri. Ibadah sepanjang bulan yang mulia ini juga boleh menjadi titik permulaan untuk seseorang berhijrah ke arah pembentukan sahsiah yang lebih bertakwa, di samping memantapkan kerjaya dan meningkatkan profesionalisme.

Penghayatan nilai ketakwaan hendaklah diperkukuh melalui ibadah sepanjang bulan Ramadan agar setiap individu pekerja mampu mengutamakan etika ketika membuat keputusan serta mengekalkan integriti di tempat kerja. Oleh itu, Ramadan bukan sahaja berperanan membentuk peribadi yang berakhlak mulia, malah turut menyokong pembinaan profesionalisme yang berteraskan nilai dan etika, sekali gus meningkatkan keberkesanan organisasi secara menyeluruh.

Daripada Sayidatina Aisyah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah Azzawajalla menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun (bersungguh-sungguh dan sempurna).” (Hadis riwayat al-Baihaqi, no. 4929, 4930 dan 4931).

Hadis ini turut dikuatkan oleh riwayat lain yang membawa maksud bahawa Allah SWT menyukai seseorang pekerja yang apabila melaksanakan sesuatu tugas, dia melakukannya dengan sebaik-baiknya. (Sunan al-Baihaqi, no. 4932).

Jelaslah bahawa Islam menuntut setiap individu agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh ketelitian, kecekapan dan keikhlasan. Nilai itqan, iaitu ketekunan dan kesempurnaan ketika bekerja sewajarnya menjadi budaya kerja, khususnya sepanjang Ramadan, sebagai manifestasi ketakwaan yang diterjemahkan melalui tindakan dan prestasi kerja yang berkualiti.

Bagi menyelaraskan amalan ketakwaan dalam budaya kerja pada hari ini agar dapat membina pekerja yang lebih berkompetensi dan bertanggungjawab, usaha ini tidak seharusnya bergantung pada badan kerajaan dan agensi perunding semata-mata. Kesemua agensi, badan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, serta pihak berkepentingan yang lain perlulah bekerjasama untuk menterjemahkan amalan ketakwaan ini dalam etika kerja, disiplin, amanah dan tanggungjawab sosial.

Selaras dengan konsep kerjasama untuk membina ketakwaan dalam kalangan pekerja sesebuah organisasi, beberapa agensi agama di Malaysia seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif kolaboratif bagi memperkasakan kompetensi profesional berteraskan nilai ketakwaan di tempat kerja.

Melalui Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), JAKIM memperkenalkan pelbagai kursus pembangunan profesional, antaranya termasuklah kursus Smart Integriti: Perkukuh Kepimpinan Diri. Program ini memberikan penekanan terhadap pembentukan integriti dan disiplin berasaskan konsep al-qawiy al-amin (cekal dan amanah) dalam usaha membina kompetensi pegawai yang terlibat dengan hal ehwal Islam. Kursus tersebut juga berteraskan maqasid syariah yang memfokuskan kepada tadbir urus berkualiti, pada masa yang sama melibatkan kakitangan agama serta penjawat awam yang lain.

Di samping itu, JAKIM turut memberikan perhatian terhadap peningkatan kesedaran pekerja mengenai kepentingan pembangunan diri, pembentukan personaliti profesional, serta pengukuhan etika kerja melalui program seperti Peningkatan Imej dan Keterampilan Profesional, serta Pembangunan Imej Pegawai dan Organisasi.

Selain itu, melalui Program Pembangunan Insan (PPI) yang dilaksanakan bersama-sama dengan JAIN dan MAIN, pelbagai latihan asas dan lanjutan turut disediakan. Latihan ini merangkumi pengukuhan ilmu ketakwaan, kemahiran komunikasi dan pembinaan sikap profesional menurut perspektif Islam. Setiap aktiviti bertujuan membimbing peserta selaku pekerja agar dapat mengamalkan nilai amanah, keikhlasan dan tanggungjawab dalam tugasan harian, seterusnya membina nilai ketakwaan dalam diri masing-masing.

Bersesuaian dengan bulan yang mulia ini, ibadah Ramadan dapat dijadikan sebagai titik permulaan untuk pekerja menjadi individu yang lebih bertakwa bukan sahaja dari sudut rohani, bahkan merangkumi konteks profesional dan sosial. Melalui ibadah puasa juga, pekerja dilatih untuk meningkatkan ketakwaan dari sudut kesabaran, memperhalus akhlak, serta menghayati nilai keikhlasan dan tanggungjawab. Penghayatan nilai ketakwaan ini secara langsung dapat diterjemahkan menerusi budaya kerja apabila pekerja menjadi lebih telus, berdisiplin, amanah, serta bertanggungjawab terhadap tugasan dan rakan sekerja.

Ibadah Ramadan juga menjadi medium untuk pekerja melakukan refleksi kendiri, menilai pencapaian profesional, dan merancang strategi pembangunan kerjaya yang beretika. Apabila nilai ketakwaan dan profesionalisme digabungkan, maka pekerja dapat meningkatkan keberkesanan bekerja dalam organisasi, mengekalkan piawaian etika yang tinggi, serta menyumbang kepada persekitaran kerja yang harmoni dan produktif.


Penulis merupakan Profesor Madya di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi