Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Media memenuhi tuntutan fardu kifayah bagi membentuk pemikiran masyarakat dan menyebarkan kebenaran.

Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika berucap dalam Majlis Apresiasi dan Ramah Mesra Menteri dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)Bersama Media yang berlangsung di White & Black Lakeside Titiwangsa, petang semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Dr. Zulkifli menyentuh realiti mencabar dunia maklumat pada masa ini yang menyebabkan masyarakat berhadapan dengan penyebaran berita palsu dan fitnah yang bersifat tular. 

Beliau memetik kajian yang menunjukkan trend membimbangkan apabila sebahagian besar pembaca hanya membaca tajuk berita tanpa meneliti kandungannya, yang pada akhirnya membentuk persepsi yang tidak tepat.

“Media ialah jambatan yang menghubungkan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat. Oleh itu, bagi mendepani cabaran fitnah yang sukar dibendung, kerjasama dengan media diperlukan untuk membina naratif yang konstruktif dan positif,” ujar beliau.

Beliau turut mengambil contoh keberanian wartawan di Palestin yang menjadi sumber harapan kepada rakyat Gaza untuk bangkit menentang kezaliman, meskipun ratusan nyawa pengamal media telah terkorban demi melaporkan kebenaran.

Mengulas mengenai hala tuju IKIM, YB Senator Dr. Zulkifli menyarankan agar institusi tersebut memperluas jangkauan dakwahnya melangkaui segmen kebiasaan.

Beliau mahu IKIM mendekati golongan belia di bawah umur 40 tahun serta masyarakat bukan Islam melalui penyediaan kandungan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Sebagai simbolik kepada perpaduan dan keharmonian, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran muzik video lagu ciptaan YB Senator Dr. Zulkifli yang bertajuk Dunia Indah Bersama

Terdahulu, Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan mendalam terhadap komitmen rakan media.

Menurut beliau, media telah berjaya membawa suara IKIM keluar daripada lingkungan akademik semata-mata dan meresap terus ke dalam nadi komuniti.

Beliau berkongsi pencapaian membanggakan IKIM sepanjang tahun 2025, iaitu sebanyak 138 artikel berkenaan dengan IKIM telah berjaya diterbitkan di pelbagai akhbar arus perdana dan portal digital. 

Selaras dengan hasrat Menteri, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam turut mengalu-alukan kehadiran wakil media berbahasa Mandarin dan Tamil ke majlis tersebut.

Beliau menegaskan bahawa IKIM berfungsi sebagai badan pemikir (think tank) bukan sahaja untuk umat Islam, tetapi untuk memberikan kefahaman yang sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama.

Kredit Foto: Media Institut Kefahaman Islam Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi