Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 yang diumumkan pada hari ini mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.
Sebanyak 4382 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM Tahun 2025 di 135 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
“Peratus kehadiran calon secara keseluruhan adalah sebanyak 98.7 peratus, dengan calon di bawah KPM merekodkan peratus kehadiran yang tinggi sebanyak 99.1 peratus,” jelas KPM dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan tersebut, pencapaian peperiksaan STAM Tahun 2025 adalah signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
Pengukuhan kurikulum hasil kerjasama dengan al-Azhar al-Sharif telah menunjukkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapaian sebanyak 2.81 mata.
“Gred Purata bagi calon sekolah KPM turut mencatatkan pencapaian yang baik, iaitu 2.63 mata,” jelas KPM.
Menurut KPM lagi, sebanyak 61 orang calon telah memperoleh pangkat Mumtaz (Cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 orang calon daripada sekolah di bawah KPM.
Secara keseluruhan, sebanyak 2816 orang calon berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan sijil bagi peperiksaan tersebut.
Calon telah menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah.
Dalam kenyataan yang sama, KPM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 orang petugas peperiksaan dan 468 orang pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan STAM 2025.