Diterbitkan pada 23 Januari 2026, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tadabur bermaksud merenung, memahami secara mendalam, serta menghayati makna dan pengajaran daripada sesuatu teks terutamanya al-Quran, dengan berusaha menerapkannya dalam kehidupan seharian untuk bermuhasabah diri dan menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Tadabur melibatkan pemerhatian menyeluruh terhadap ayat al-Quran, di samping memahami konteks dan sebab ayat diturunkan, serta hikmah di sebaliknya. Hal ini bermakna, al-Quran tidak sekadar dibaca secara zahir tanpa pemahaman, penghayatan dan penerapan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tidakkah mereka menghayati (merenung) al-Quran? Dan sekiranya al-Quran itu bukan daripada Allah, pastilah mereka menemui banyak hal yang bertentangan (percanggahan) dalamnya.” (Surah al-Nisa’ 4:82).

Selain membaca al-Quran dan terjemahannya, ummah dianjurkan untuk bertadabur dengan al-Quran yang mengandungi ilmu, pengetahuan, hikmah dan pengajaran. Terdapat ratusan ayat al-Quran yang menyeru orang beriman agar menggunakan kebijaksanaan akal serta meneladani segala petunjuk dan isyarat keilmuan.

Imam al-Suyuti dalam karya agungnya al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran menggariskan 77 nilai ilmu yang diutarakan oleh al-Quran al-Karim, antaranya termasuklah ilmu alam, sains, kemukjizatan, tajwid, tafsir, qiraat, sebab turun ayat, kaedah penurunan dan pengumpulan al-Quran dan nasakh mansukh (iaitu teks yang dimansuhkan). Dengan mentadaburkan al-Quran, insya-Allah umat Islam akan menjadi umat terbilang yang disegani lagi dihormati; berupaya mengemudi ketamadunan membentuk umat manusia yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Bagaimanakah Amalan Tadabur al-Quran Boleh Menjadi Pemangkin Ummah Terbilang?
Tadabur membentuk ummah yang beramal mengikut pedoman dan panduan al-Quran dalam segenap bidang kehidupan manusia. Hal ini merangkumi keimanan, ibadah, akhlak dan pelbagai ilmu pengetahuan lain. Ajaran al-Quran yang ditekuni dan diamalkan akan menatijahkan ummah bertauhid, menjaga solat lima waktu, berakhlak mulia, amanah lagi jujur, saling menghormati, mengutamakan kesatuan, bersikap terbuka, bekerja bersungguh-sungguh, bertamadun dan mementingkan ilmu pengetahuan.

Al-Quran sarat dengan ilmu pengetahuan. Tanpa tadabur, ummah akan ketinggalan dalam meneroka rahsia keilmuan yang diketengahkan oleh al-Quran. Antara ilmu yang boleh didapati apabila kita mentadabur al-Quran termasuklah:

Pertama: Petunjuk kehidupan bermasyarakat, kegiatan ekonomi, bekerja dan berniaga yang mementingkan keberkatan perolehan dan perbelanjaan harta. Al-Quran memberikan panduan nilai yang betul berkaitan dengan harta, serta larangan mengambil harta secara batil. Ketika ditimpa musibah, al-Quran mengajar manusia agar bertindak bijak. Ketika dilimpahkan nikmat kesenangan, al-Quran mengingatkan manusia supaya berjimat seperti yang disuratkan dalam Surah Yusuf. Bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni dan kuat, al-Quran mengingatkan ummah tentang kewajipan membina kesatuan.

Kedua: Al-Quran banyak memberikan petunjuk untuk mengutamakan perdamaian di petunjuk tentang cara menghadapi musuh – adakah semua orang kafir dianggap musuh atau hanya sebilangan yang menentang dan melakukan kerosakan sahaja?

Ketiga: Al-Quran memberikan petunjuk tentang alam, bumi, langit, bulan, matahari, lautan dan pelbagai kehidupan. Hasil daripada pengkajian petunjuk tersebut, manusia memperoleh pelbagai manfaat. Allah SWT berfirman dalam Surah Yasin ayat 38:

Maksudnya: “Dan (sebahagian daripada tanda tersebut ialah) matahari kelihatan bergerak ke tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah takdir Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Banyak ayat al-Quran yang memaparkan rahsia alam, aspek astronomi, perubatan, kemanusiaan, falsafah, sejarah, serta perkhabaran lampau dan akan datang. Dengan ilmu kemukjizatan juga, al-Quran membolehkan ummah mengkaji aspek sains dan teknologi yang diisyaratkan oleh al-Quran.

Keempat: Al-Quran memberikan panduan urusan dan tanggungjawab membina keluarga yang bahagia dan masyarakat yang seimbang.

Oleh itu, amalan mentadabur al-Quran penting dijadikan budaya kehidupan. Setiap individu, keluarga, dan masyarakat, disarankan mengadakan program tadabur al-Quran di rumah, surau, masjid, begitu juga di institusi kerajaan dan swasta.

Tadabur al-Quran hendaklah dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, mempelajari beberapa ilmu seperti asas bahasa Arab, tafsir dan tajwid, serta menggunakan kebijaksanaan akal untuk berfikir tentang rahsia di sebalik ayat yang dibaca sesuai dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran masing-masing.

Ingatlah! Allah SWT menempelak sikap hamba-Nya yang tidak mahu tadabur ayat al-Quran. Allah SWT berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24:

Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian), maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran? Atau hati mereka sudah terkunci (sehingga terhalang daripada menerima ajaran al-Quran)?”

Kesimpulan daripada perbincangan ini adalah seperti yang berikut:

  • Pertama: Mentadabur al-Quran merupakan tanggungjawab para pembaca al-Quran. Selepas membaca al-Quran dengan fasih, diikuti dengan bacaan yang bertajwid, teruslah membaca makna dan terjemahan, disusuli dengan tadabur dan penghayatan terhadap ayat yang dibaca.
  • Kedua: Mentadabur al-Quran berserta adabnya menatijahkan kefahaman yang betul dan mendalam terhadap maksud ayat al-Quran, diikuti dengan amalan terhadap perkara yang dianjurkan oleh al-Quran. Beramal dengan al-Quran akan melahirkan ummah terbilang.
  • Ketiga: Allah SWT mencela orang yang tidak mahu merenung dan memikirkan peringatan-Nya melalui ayat al-Quran. Tanpa tadabur al-Quran, manusia akan tersesat dan tertipu oleh hawa nafsunya.

(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 23 Januari 2026, bertajuk “Bertadabur al-Quran – Pemangkin Ummah Terbilang”.)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi