Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan ibrah yang besar terhadap keyakinan umat Islam kerana berkaitan dengan keimanan yang wajib dipercayai.
“Sekiranya peristiwa ini tidak diyakini dengan penuh keimanan boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kafir,” demikian menurut Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustaz Dr. Syed Shahridzan Syed Mohamed.
Beliau berkata demikian ketika memberikan Ceramah Khas pada sesi Amanat Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada warga DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pada hari ini.
Majlis ilmu yang dikendalikan oleh Surau al-Hukama’ DBP ini mengingatkan warga DBP dan umat Islam supaya memahami perjuangan dan cabaran besar yang digalas oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menurut Dr. Syed Shahridzan, perisitiwa Israk dan Mikraj memperlihatkan kebesaran Allah SWT terhadap hamba-Nya, iaitu Israk yang bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa dengan menaiki Buraq (tunggangan) bersama-sama malaikat Jibril.
Mikraj pula bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidilaqsa naik ke langit pertama hingga Sidratulmuntaha (langit ketujuh) untuk bertemu Allah SWT.
Perjalanan Rasulullah SAW mengambil masa yang singkat, iaitu perjalanan malam dan tiba di Makkah pada Subuh keesokan harinya, iaitu menurut pendapat ulama pada 27 Rejab sebelum Hijrah (621M) tahun ke-10 kerasulan Baginda.
“Sebelum peristiwa Israk dan Mikraj berlaku, Rasulullah SAW berdukacita disebabkan kemangkatan isterinya yang tercinta, Sayidatina Siti Khadijah r.a. dan bapa saudaranya, Abdul Muttallib.
“Baginda bersedih kerana sepanjang hidup bapa saudaranya itu enggan menerima Islam dan masih menganut agama yang diwarisi oleh nenek moyangnya.
Tahun tersebut dikenali sebagai tahun dukacita Rasulullah SAW, maka bagi menghiburkan perasaan Rasulullah SAW, Allah SWT mengutuskan Jibril untuk membawa Rasulullah SAW untuk berjumpa dengan Allah.
Ulas Dr. Syed Shahridzan, Rasulullah SAW juga insan biasa yang melalui masa bergembira dan berduka terutama dalam penyebaran dakwah islamiah.
Setibanya Rasulullah SAW di Makkah, Baginda duduk di hadapan Kaabah dalam keadaan sugul kerana perlu menyampaikan peristiwa Israk dan Mikraj, namun Abu Jahal mengambil peluang untuk menuduh Baginda sebagai pendusta lalu memanggil penduduk Makkah berkumpul.
Rasulullah SAW tetap menceritakan peristiwa tersebut, termasuk gambaran malaikat Jibril, tetapi penduduk Makkah mentertawakannya kerana menganggap kisah itu sebagai cerita bohong.
“Demikian juga pada masa ini, masih banyak umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj kerana didakwa tidak dapat dibuktikan secara kaedah saintifik dan tidak dapat diterima oleh pemikiran logik,” katanya.
Menurutnya, peristiwa Israk dan Mikraj mengajar umat Islam bahawa setiap perkara yang datang daripada Allah SWT wajib dipercayai dengan penuh keimanan kerana peristiwa tersebut merupakan ujian besar kepada keimanan mereka.
Pada ketika itu, ramai orang Arab kembali murtad kerana menganggap Rasulullah SAW tidak siuman, namun Sayidina Abu Bakar al-Siddiq tetap mempercayai dan membenarkan setiap perkataan Baginda.
“Jika ditimbang keimanan Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan umat Islam sejak zaman Nabi Adam a.s. hingga sekarang, nescaya lebih berat timbangan iman Sayidina Abu Bakar r.a. berbanding dengan umat Islam yang lain,” kata Dr. Syed Shahridzan.
Beliau menyatakan kebimbangan akan keadaan paling membahayakan umat Islam kini, iaitu hilangnya keimanan dan keyakinan terhadap ajaran Islam apabila sebahagian anak muda dan golongan dewasa terpengaruh dengan fahaman anti-Tuhan, antirasul serta pemikiran liberal.
Selain itu, gejala songsang semakin berleluasa dan penggunaan alat peranti yang berlebihan menyebabkan banyak anak muda leka, malah mula mempersoalkan perkara asas agama seperti ketuhanan, dosa dan pahala, serta syurga dan neraka.
“Anak pada hari ini merupakan pelapis generasi akan datang yang sepatutnya mewarisi keimanan Sayidina Abu Bakar r.a., bukannya meniru kejahilan Abu Jahal,” katanya lagi.