Oleh Rosmani Omar
31 Disember 2021, 19:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Tahun 2021 melakarkan pelbagai kejayaan yang ditampilkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan kecemerlangan tersebut akan diteruskan pada tahun 2022.

Rangkuman kecemerlangan tersebut dapat dilihat melalui pelbagai projek dan program yang dilaksanakan oleh MAIPs walaupun negara masih lagi berhadapan dengan penularan COVID-19. Misalnya pada tahun 2021, MAIPs berjaya menyerahkan Bangunan Wakaf MAIPs bagi Pusat Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan melaksanakan projek pembinaan Kompleks Pengurusan MAIPs dan Asnaf.

Atas keprihatinan dan kepentingan rakyat, MAIPs juga telah melaksanakan pengagihan 45 skim agihan zakat secara hikmah dan bersasar, meneruskan program latihan dan penempatan pekerjaan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan menjalankan 23 inisiatif menerusi Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 selain melaksanakan sembilan inisiatif bagi menangani COVID-19.

Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang dikemudikan oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra, Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta sejak Disember 2020 juga menjadi satu mercu tanda kecemerlangan Perlis pada tahun 2021 dalam usaha memberikan nilai tambah pada kampung yang menjadi petempatan awal rakyat di Perlis. Pada masa yang sama, transformasi tersebut dapat memastikan Kampung Seberang Ramai kekal sebagai destinasi pelancongan.

Antara lain pada tahun 2021, MAIPs berjaya merangkul Anugerah Khas MASTI daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan memperoleh penarafan cemerlang bagi Sistem Pemantauan Laman Web dan Perkhidmatan dalam Talian Kerajaan (SPLaSK) Unit Pemodenan Tadbiran dan Tadbir Urus (MAMPU). MAIPs juga berjaya mengekalkan Sijil Bersih Tanpa Teguran oleh Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan MAIPs selama sembilan tahun berturut-turut serta mencapai sasaran HRMIS dan Inisiatif MAIPs e-pay Perlis Digital 2021.

Beberapa contoh kejayaan yang dilakarkan itu menandakan komitmen jitu yang ditunjukkan oleh peneraju MAIPs dan seluruh warga kerjanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor,

Keprihatinan Duli-duli Tuanku dalam memastikan pengurusan Hal Ehwal Islam di Negeri Perlis sentiasa cemerlang dan terkehadapan telah dijelmakan melalui perkenan Tuanku Raja Perlis terhadap Pelan Strategi MAIPs 2021-2025 dan Kapsul Masa MAIPs 2025 ketika Istiadat Sambutan 1 Kurun MAIPs di Istana Arau pada 17 Julai 2020 lalu.

Sehubungan dengan itu, pengurusan MAIPs merakamkan persembahan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang menerajui MAIPs menjalankan titah amanah Tuanku Raja Pemerintah atas komitmen dan hikmah baginda sebagai Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.