Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mantan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syaikh Ismail Muhammad meninggal dunia pada awal pagi semalam.
Pemergian beliau dimaklumkan menerusi hantaran Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekitar pukul 3.00 pagi.
Menurut hantaran yang sama, pengurusan jenazah Allahyarham disempurnakan di masjid tersebut bermula selepas solat subuh dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar menzahirkan kesedihan dan ucapan takziah atas pemergian Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syaikh Ismail.
“Hari ini, negara kehilangan seorang tokoh besar yang amat saya kasihi dan hormati — Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syaikh Ismail bin Muhammad, mantan Imam Besar Masjid Negara dan antara figura penting dalam memperjuangkan literasi al-Quran di tanah air.
“Allahyarham bukan sekadar seorang guru, tetapi murabbi ummah yang membimbing dengan penuh hikmah, kelembutan dan ketegasan ilmu,” katanya melalui hantaran di Facebook, semalam.
Beliau secara peribadi menyatakan amat terkesan dengan pemergian Allahyarham.
Jelas beliau, “Banyak kenangan bersama Allahyarham yang akan terus saya simpan sebagai amanah perjuangan — agar tradisi ilmu, adab dan kecintaan terhadap al-Quran terus disuburkan.”
Nasihat, senyuman dan doa beliau sentiasa menjadi sumber kekuatan buat generasi pelajar dan pencinta al-Quran.
“Semoga Allah SWT mengampuni, merahmati dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan para solihin,” ujarnya.
Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syaikh Ismail merupakan anak kelahiran Dungun, Terengganu dan antara kumpulan pelajar terawal yang menyambung pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir.
Sebelum berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara, Allahyarham pernah merupakan imam di Masjid Putra selama lima tahun.
Allahyarham telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1443 Hijrah bersamaan dengan tahun 2021 dan merupakan Ahli Jawatankuasa Literasi al-Quran Selangor serta pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi Akademi Literasi al-Quran Selangor.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun.