Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenurut World Population Review, India mempunyai penduduk Islam ketiga terbesar di dunia, dengan kira-kira 200 juta orang Islam pada tahun 2021. Jumlah tersebut menjadikan India sebagai negara yang memiliki penduduk minoriti Islam terbesar di dunia yang menyumbang sebanyak 10.9 peratus daripada populasi orang Islam pada peringkat global.
Jumlah tersebut hampir menyamai penduduk beragama Islam di Asia Tenggara yang dianggarkan sekitar 242 juta orang. Indonesia menjadi negara terbesar yang memiliki penduduk yang majoritinya Islam, iaitu sebanyak 86.7 peratus, diikuti oleh Brunei sebanyak 78.8 peratus dan Malaysia sebanyak 63.5 peratus. Negara lain yang turut mempunyai populasi penduduk Islam yang ketara di rantau ini ialah Filipina, Thailand dan Singapura.
Walaupun dianggap minoriti, populasi umat Islam di India sebaliknya bertambah dari tahun ke tahun. Satu daripada penyumbang utamanya sebagaimana menurut Sambhav Jain dalam kajiannya bertajuk “Mengapakah Populasi Hindu Berkurang: Adakah Ini Isu Serius?” yang terbit dalam International Journal for Multidisciplinary Research (IJFMR) jilid 4, isu 4, tahun 2022 adalah kerana berlakunya perbezaan reproduktif antara wanita Muslim dengan wanita Hindu di negara berkenaan.
Dalam dapatan Sambhav, perkadaran penduduk beragama Islam dalam populasi menunjukkan peningkatan, manakala penduduk beragama Hindu menurun selepas India dan Pakistan membentuk negara masing-masing yang merdeka. Antara tahun 1951 hingga tahun 1971, peratusan umat Islam meningkat daripada 9.9 peratus kepada 11.2 peratus, manakala peratusan penduduk beragama Hindu menurun daripada 84.9 peratus kepada 82.7 peratus.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh Shambav, perubahan berkadar ini tidak boleh dikaitkan dengan variasi dalam penghijrahan atau kematian, sebaliknya berlaku disebabkan oleh variasi dalam kesuburan. Menurut statistik daripada bancian pada tahun 1971, wanita Islam mempunyai jumlah kadar kesuburan dalam perkahwinan sebanyak 20 peratus lebih tinggi di kawasan luar bandar dan sebanyak 11 peratus lebih tinggi di kawasan bandar berbanding dengan wanita Hindu.
Selanjutnya, menurut Shambav, kadar pertambahan orang Islam terus meningkat lebih tinggi walaupun tahap persekolahan atau pendidikan dikawal. Dapatan ini sekali gus menunjukkan berlaku percanggahan logik, iaitu apabila kriteria sosioekonomi dan pendidikan dikekang, sepatutnya kadar pertumbuhan menurun. Akan tetapi, hal yang berlaku adalah sebaliknya.
Dalam 11 kajian demografi yang berasingan pula, didapati bahawa secara konsisten, wanita Islam mempunyai kadar kesuburan yang lebih tinggi berbanding dengan wanita Hindu. Dengan peningkatan tersebut, Shambav dalam kajiannya percaya bahawa menjelang tahun 2050, Islam akan menjadi agama majoriti di kawasan Asia Pasifik.
Pendidikan Islam di India
Walaupun tahap pendidikan dikawal sebagaimana menurut kajian Shambav, kesedaran umat Islam di negara tersebut terhadap pendidikan, khususnya pendidikan agama sangat tinggi. Tanpa terlalu bergantung pada pemerintah bahkan tidak menerima sebarang bantuan daripada kerajaan, institusi pendidikan seperti Darul Uloom Deoband di Saharanpur, Uttar Pradesh, dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai, sebagaimana dinyatakan di laman web rasminya. Sebagai balasan, institusi tersebut menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya kepada semua pelajar malah turut memperuntukkan biasiswa dan wang saraan. Dalam erti kata lain, institusi ini beroperasi berasaskan prinsip “memulangkan kembali apa-apa yang telah diberikan”, iaitu dengan memenuhi keperluan pendidikan umat Islam setelah keperluan kewangannya disempurnakan atau ditunaikan oleh umat Islam.
Sejak penubuhannya pada tahun 1866, Darul Uloom Deoband tidak mengenakan bayaran kepada pelajar untuk pendidikan mereka. Semua pendidikan daripada peringkat rendah sehingga pengajian tinggi dan pengkhususan disediakan secara percuma. Para pelajar diberikan makanan, penginapan dan bahan pembelajaran percuma. Pelajar juga tidak dikenakan bayaran untuk elektrik dan kemudahan asas lain yang diberikan kepada mereka. Selain itu, para pelajar diberikan elaun untuk pakaian, kasut dan ditawarkan selimut pada musim sejuk. Terdapat kemudahan perubatan yang disediakan untuk pelajar, iaitu mereka boleh mendapatkan rawatan dengan bayaran yang sangat rendah. Sistem pendidikan percuma banyak membantu keluarga miskin di negara tersebut untuk mendidik anak mereka tanpa menanggung beban perbelanjaan pendidikan.
Dalam hal ini, Darul Uloom Deoband memainkan peranan yang besar untuk menggalakkan masyarakat yang celik huruf dan membasmi kejahilan. Institusi tersebut berjaya menyumbang secara signifikan dalam bidang pendidikan dengan mewujudkan sistem pendidikan Islam mantap yang mempengaruhi bukan sahaja di benua kecil India, bahkan di seluruh dunia. Darul Uloom Deoband juga berjaya melatih hampir 100 000 orang graduan yang telah berkhidmat untuk masyarakat Islam di seluruh pelosok dunia.
Sebuah lagi institusi pendidikan bernama Nadwatul Ulama yang terletak di daerah Lucknow, Uttar Pradesh juga beroperasi menerusi pembiayaan atau sumbangan orang ramai. Institusi ini mempunyai satu seksyen khas yang dikenali dengan nama Tameer wa Taraqqi yang berfungsi untuk mengumpul dana bagi membina dan menambah kemudahan atau prasarana selain memenuhi keperluan institusi, khususnya dari sudut operasi dan penyelenggaraan.
Dengan mengambil langkah yang proaktif, pengelola di bahagian ini menjelajah ke merata tempat di dalam negara untuk menonjolkan kepentingan dan keperluannya, di samping menggalakkan sumbangan kewangan daripada orang ramai. Mereka juga menyelia dan menguruskan projek pembinaan sama ada bangunan baharu atau menaik taraf bangunan sedia ada bagi memenuhi keperluan institusi yang semakin meningkat.
Usaha seksyen tersebut yang dimulakan pada tahun 1985 dianggap sangat penting dan kritikal bagi pertumbuhan dan kemampanan Nadwatul Ulama secara keseluruhan untuk kekal sebagai satu daripada institusi pendidikan Islam terkemuka di India.