Diterbitkan pada 20 November 2025, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tatkala inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerap diuar-uarkan oleh badan korporat ketika ini, masjid dilihat berpotensi menjadi platform yang sesuai bagi pelaksanaannya.

Sejak kebelakangan ini, masjid mula dilihat sebagai sebuah pusat komuniti yang menjalankan pelbagai kegiatan sosial berkaitan dengan keagamaan. Peranan ini semakin signifikan dalam usaha membentuk akhlak dan sahsiah individu, selain memupuk perpaduan umat Islam. Penganjuran aktiviti pembelajaran agama, penyebaran ilmu dan pengurusan kebajikan menjadi platform utama yang mengukuhkan silaturahim sesama masyarakat.

Rasulullah SAW turut mengungkapkan dalam beberapa hadis mengenai fungsi masjid sebagai pusat pengembangan agama Islam. Pada masa yang sama, Baginda juga memakmurkannya dengan aktiviti keilmuan, dakwah dan kebajikan bagi pembangunan rohani dan kehidupan masyarakat. Sejak zaman awal Islam, masjid menjadi tunjang pembangunan masyarakat yang beriman dan berakhlak mulia. Hal ini seperti disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Barang siapa yang membangun masjid kerana Allah, maka Allah akan bangunkan untuknya (balasan) rumah di syurga.

(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 450 dan Muslim, no. 533)

Berdasarkan hadis ini, ternyata betapa besarnya ganjaran bagi individu, masyarakat dan organisasi yang mengimarahkan masjid demi kemakmuran umat Islam. Fungsi masjid melangkaui tempat menunaikan ibadah semata-mata. Institusi ini menjadi pusat sosial untuk umat Islam bekerjasama dan saling membantu dalam pelaksanaan projek amal dan kebajikan, selain tempat bagi individu bertakwa mencari ketenangan hidup, rahmat dan jalan menuju ke syurga.

Pada hari ini, kita dapat menyaksikan pelbagai aktiviti yang dijalankan di kebanyakan masjid untuk mengimarahkannya merangkumi ceramah agama, kelas pengajian al-Quran, serta program bantuan kepada golongan memerlukan. Oleh itu, penganjuran seumpamanya mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan masyarakat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

… moga-moga mereka (yang mengimarahkan masjid dan rumah-Ku) termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk.

(Surah al-Taubah 9:18)

Usaha mengimarahkan masjid merupakan tanggungjawab bersama umat Islam bagi memastikan institusi ini terus berperanan aktif membina masyarakat yang sejahtera. Segala perancangan dan pelaksanaannya tidak hanya terletak pada bahu ahli jawatankuasa masjid, sebaliknya para jemaah dan ahli kariah perlu bersama-sama menggembleng tenaga menjayakannya. Umat Islam menggalas amanah kolektif untuk menjadikan masjid sebagai pusat kecemerlangan umat Islam dari aspek spiritual, sosial dan pembangunan insan dengan pendekatan yang terangkum, berstrategi dan bersifat kontemporari.

Baru-baru ini, pihak kerajaan menzahirkan komitmennya dalam pembentangan Belanjawan 2026  bagi mengembalikan fungsi masjid sebagai institusi yang membina masyarakat harmoni dan berdaya tahan menerusi inisiatif Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid. Begitu juga, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensinya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan Dasar Memakmurkan Masjid. Dasar ini memberikan tumpuan pada aktiviti masyarakat setempat berbentuk kebajikan seperti program bantuan kepada golongan asnaf, kelas bimbingan keluarga, tuisyen percuma dan pertandingan sukan di kawasan masjid. Pendekatan mesra masyarakat ini dilaksanakan oleh JAKIM dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri (JAIN) di seluruh negara.

Tanggungjawab Sosial Korporat Badan Korporat

Tatkala inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerap diuar-uarkan oleh badan korporat ketika ini, masjid dilihat berpotensi menjadi platform yang sesuai bagi pelaksanaannya. Kesanggupan pihak badan korporat membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi mendukung program kemasyarakatan dalam negara sewajarnya turut diterjemahkan dalam program-program yang mengimarahkan institusi masjid.

Sebagai contoh, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) merupakan antara syarikat tempatan yang bergiat aktif dalam CSR melalui program pengimarahan masjid terpilih di kawasan luar bandar. Melalui Yayasan PETRONAS, agensi korporat berkenaan menjalankan pelbagai program seperti penyaluran sumbangan kepada masjid, pembiayaan pendidikan kelas al-Quran dan fardu ain. Di samping itu, PETRONAS turut membiayai peruntukan menaik taraf prasarana dan kemudahan asas di kawasan masjid seperti dewan serba guna dan juga perpustakaan mini. Kesemuanya ini ialah pelaburan jangka panjang kepada pihak masjid dan masyarakat setempat untuk menganjurkan program yang membangunkan komuniti seperti ceramah agama, forum perdana dan aktiviti keusahawanan.

Penyertaan PETRONAS ini membuktikan bahawa kerjasama mengimarahkan masjid merupakan pendekatan CSR yang perlu diberikan perhatian oleh badan korporat tempatan lain bagi merealisasikan Dasar Memakmurkan Masjid secara menyeluruh dan berkesan. Bagi merancakkan lagi pelibatan badan korporat terhadap usaha tersebut, pihak kerajaan juga memperkasakan peranan jawatankuasa masjid dengan latihan kepimpinan, pengurusan, serta kemahiran komunikasi agar mereka lebih bersedia memimpin dan melaksanakan pelbagai program yang berimpak tinggi.

Tidak dinafikan pelibatan generasi muda perlu digalakkan agar kesinambungan peranan masjid dalam masyarakat dapat diteruskan. Pihak pengurusan masjid haruslah bersikap mesra belia dan menyediakan program yang sesuai dengan minat serta keperluan golongan muda seperti bengkel motivasi dan aktiviti sukarelawan. Seterusnya, masjid akan menjadi tempat yang inklusif dan relevan bagi semua lapisan masyarakat, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Kejayaan CSR tidak hanya dinilai pada jumlah peruntukan yang disumbangkan kepada masjid, tetapi keberkesanan mengimarahkannya untuk lebih mesra masyarakat, sekali gus menjadi tumpuan utama kepada pihak lain menyertai usaha ini.

Bersesuaian dengan mekanisme berkenaan, masjid hendaklah diangkat martabatnya sebagai pemangkin pembangunan masyarakat yang holistik melalui program majlis ilmu. Malah, gagasan Malaysia MADANI telah memberikan perhatian terhadap kerjasama yang kukuh antara agensi kerajaan, swasta, NGO dan komuniti setempat mengimarahkan masjid bagi membina perpaduan serta melahirkan warganegara yang baik, positif dan berpengetahuan.

Kesimpulannya, pendekatan CSR oleh beberapa badan korporat mutakhir ini adalah antara strategi yang dapat meningkatkan lagi prestasi dan imej masjid di mata masyarakat. Hubungan institusi masjid dengan masyarakat perlu diperkasakan supaya pengoperasiannya seiring dengan perkembangan semasa dan menyantuni isu rohani, sosial dan intelektual yang dihadapi oleh umat Islam.


Profesor Madya Dr. Muhammad Abi Sofian bin Abdul Halim merupakan pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Keusahawanan, khususnya dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta Pembangunan dan Sokongan PMKS.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi