Diterbitkan pada 18 November 2025, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

(Surah Yusuf 12:2)

Al-Quran merupakan kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. secara berperingkat, dan membacanya dikira sebagai ibadah. Selain itu, al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang juga dikenali sebagai bahasa syurga.

Bahasa Arab bukan sekadar bahasa pertuturan bagi bangsa Arab, malah menjadi perantara sumber gudang pengetahuan. Banyak kitab agama ditulis dalam bahasa ini oleh para ulama muktabar seperti al-Iqna‘ fi Hall Alfaz Abi Syuja‘ karya al-Syaikh Syams al-Din Muhammad al-Khatib al-Syarbini yang membicarakan ilmu fiqah mazhab Syafii, serta Jauharah al-Tauhid yang disusun oleh al-Syaikh Burhan al-Din Ibrahim al-Laqqani al-Maliki membahaskan asas akidah seorang Muslim.

Dalam kitab Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata, “Bahasa Arab ialah syiar Islam dan syiar kaum Muslimin”. Oleh itu, bahasa Arab wajar dipelajari sejak di bangku sekolah agar dapat meningkatkan pemahaman kita tentang agama.

Ibu bapa seharusnya mengambil pendekatan yang lebih progresif untuk menanam kecintaan anak terhadap bahasa Arab dalam pendidikan. Tidak salah jika ibu bapa menarik minat anak untuk belajar di sekolah menengah agama atau sekolah pondok bagi mendalami bahasa ini, bahkan usaha tersebut menjadi nilai tambah kepada mereka bagi menghadapi dunia pekerjaan pada masa hadapan.

Seruan Kementerian Pendidikan Malaysia

Dalam usaha memperkasakan pendidikan bahasa Arab dalam negara, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) pada tahun 2015. Bahasa pengantar bagi mata pelajaran KBD ialah bahasa Arab, manakala mata pelajaran akademik lain menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Perkara ini jelas menunjukkan komitmen pihak kementerian untuk melahirkan lebih banyak pelajar yang mempunyai pengetahuan luas berkaitan dengan bahasa Arab dan ilmu agama. KBD juga berjaya menjadi batu lonjakan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar di Mesir, Universiti Yarmouk di Jordan dan Universiti Hassan II Casablanca di Maghribi.

Rentetan itu, penguasaan bahasa Arab dari sekolah rendah amat diperlukan agar pelajar lebih lebih bersedia dari segi mental dan emosi apabila mengikuti kurikulum ini. Pada peringkat sekolah rendah, Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) menjadi platform utama yang mengetengahkan pendidikan agama. Satu daripada mata pelajaran wajibnya, al-Lughah al-‘Arabiyah yang mendedahkan asas bahasa Arab kepada murid seperti nombor, haiwan, buah-buahan dan keluarga. Inisiatif ini menggalakkan pembelajaran bahasa Arab secara berterusan dalam kehidupan seharian.

Pada peringkat menengah pula, pelajar diajar asas qawaid bahasa Arab seperti nahu dan saraf. Pembelajaran ini melatih mereka memahami hukum bahasa, seterusnya dapat bertutur dan menulis karangan dalam bahasa Arab dengan kesalahan minimum.

Secara tidak langsung, pelajar akan mudah menguasai ilmu tajwid al-Quran dan mendalami kitab bahasa Arab semasa proses pembelajaran bagi mengukuhkan pemahaman ilmu agama. Walau bagaimanapun, pelajar disarankan bersama-sama guru yang pakar semasa mempelajari dan menterjemahkan kitab agar pentafsiran inti patinya tidak terseleweng daripada maksud asal penulis. Kesilapan tafsiran boleh mengakibatkan ketidaksempurnaan dalam ibadah dan kerosakan dalam akidah.

Khusyuk dalam Ibadah

Ibadah merupakan bentuk pengabdian seorang hamba kepada Penciptanya. Solat, puasa dan zakat ialah ibadah yang disyariatkan kepada umat Islam untuk mendapatkan keredaan-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(Surah al-Fatihah 1:5)

Dalam konteks solat, semua bacaannya bermula daripada niat sehinggalah salam diungkapkan dalam bahasa Arab. Malangnya, kebanyakan kita hanya menghafal bacaan tersebut tanpa memahami maksudnya. Keadaan ini menjadikan solat kita tidak sekhusyuk dan setekun individu yang meneliti dan memahami makna bacaan tersebut.

Pada hari ini, pelibatan golongan agamawan dalam sesi kuliah dan pengajaran bahasa Arab asas semakin mendapat sambutan di masjid melalui anjuran badan bukan kerajaan (NGO). Sesi pengajaran dan pembelajaran daripada ustaz yang bertauliah disertai oleh golongan tua dan muda, sekali gus membuktikan bahawa masih terdapat sikap peduli dan rasa tanggungjawab terhadap bahasa Arab dalam kalangan masyarakat.

Antara program yang sering diadakan termasuklah Program Pemantapan Bahasa Arab, #QuranHour dan Kursus Ilmu Asas Bahasa Arab. Kegiatan berkenaan dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dengan kerjasama pihak masjid serta surau bagi memastikan masyarakat dapat menambah pengetahuan dalam bidang agama terutamanya bahasa Arab dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bahasa Arab merupakan bahasa syurga yang indah dengan keistimewaan gaya bahasanya tersendiri. Penguasaannya mendorong kita mengenal ilmu agama dengan lebih mendalam dan memperbetul teknik bacaan al-Quran. Bahasa ini juga dilihat memainkan peranan penting dalam pelbagai konteks kehidupan khususnya dalam ibadah seharian dan komunikasi antarabangsa.

Oleh itu, kita harus memberikan perhatian yang serius terhadap pembelajaran bahasa Arab agar terus kekal relevan di Malaysia dan bermanfaat kepada umat manusia pada hari ini, serta arus globalisasi masa hadapan yang semakin mencabar.


Muhammad Haziq Hakimi Afzal berasal dari Rembau Negeri Sembilan. Beliau kini sedang mengikuti kursus persediaan Bahasa Arab bagi tawaran menyambung pelajaran pada pengajian tinggi di sebuah universiti di Jordan dalam Ijazah Sarjana Muda Usul Fiqh. Beliau juga banyak menghantar penulisan dalam Dewan Tamadun Islam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi