Diterbitkan pada 21 November 2025, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Perumpamaan (derma dan nafkah yang dikeluarkan oleh) mereka yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah 2:261)

Sedekah merupakan ibadah yang menjanjikan keberkatan hidup serta amalan yang akan diberikan imbalan luar biasa. Ayat 261 Surah al-Baqarah menjadi bukti bahawa Allah SWT mengurniakan ganjaran luar biasa terhadap amalan ini umpama sebiji benih yang ditanam, lalu menumbuhkan tujuh tangkai, dan setiap tangkai tersebut menghasilkan seratus biji.

Sedekah bermaksud suatu pemberian yang dilakukan dengan tujuan mendapat keredaan Ilahi dan ganjaran pahala daripada-Nya. Sedekah terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, sedekah wajib yang merangkumi kewajipan zakat dan nafkah. Kedua, sedekah sunat, iaitu pemberian secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan hajat seseorang. Dari aspek pelaksanaan tuntutannya, sedekah wajib perlu didahulukan sebelum melakukan sedekah sunat.

Al-Quran dan sunah turut mengungkapkan keajaiban amalan bersedekah dengan kesan-kesan luar biasa seperti yang berikut:

Pertama: Orang yang bersedekah dengan ikhlas akan mendapat pahala yang berganda sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, akan dilipatgandakan balasannya bagi mereka dan mereka akan mendapat pahala yang mulia.”

 (Surah al-Hadid 57:18)

Secara logiknya, pasti akan berlaku pengurangan apabila sesuatu harta dibelanjakan. Namun begitu, renunglah sedalam-dalamnya, harta yang digunakan untuk tujuan sedekah, tidak akan menjejaskan atau mengurangkan keperluan hidup pemberi sedekah. Umpamanya, kesihatan tubuh kurniaan Ilahi, mungkin berkat daripada amalan sedekahnya. Dia tidak perlu menanggung bebanan kewangan untuk membiayai perbelanjaan perubatan. Allah SWT jua ada cara menggantikan harta yang disedekahkan dengan mengurniakan kejayaan pekerjaan, pengembangan perniagaan, keselamatan perjalanan, doa yang makbul atau pencapaian cemerlang anak-anak dalam bidang pendidikan.

Kedua: Sedekah mampu membebaskan diri daripada masalah kerana amalan ini melahirkan jiwa yang tenang dan fikiran menjadi lapang. Mukmin yang bersedia untuk memberikan harta yang dimilikinya kepada orang lain akan sentiasa berasa cukup berbanding dengan orang yang tidak mengamalkan sedekah. Mukmin yang sering menghulurkan pemberian akan bersyukur, manakala mereka yang tidak bersedekah sentiasa takut akan kehilangan sesuatu. Mukmin yang bersedekah berpandangan rezeki Allah sangat luas berbanding dengan mereka yang tidak mahu memberi sedekah lantaran merasakan rezekinya terbatas. Mukmin yang sentiasa rasa cukup, bersyukur dan yakin terhadap rezeki yang luas, pemikirannya menjadi lapang. Sedangkan perasaan tidak cukup, takut akan kehilangan dan beranggapan rezeki terbatas menunjukkan pemikiran yang sempit dan tertekan.

Ketiga: Bersedekah dapat menghilangkan penyakit dan menghindari musibah. Dalam kitab Mu’jam al-Safar, Abu Bakar al-Khabbazi dari Naisabur telah menghidap penyakit yang parah. Jiran tetangga yang soleh datang menziarahinya lalu menyarankan kepada beliau supaya beramal dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “… rawatlah orang yang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah … .”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Ketika musim panas, beliau telah membeli buah tembikai lalu memberikan makanan kepada golongan fakir dan anak kecil. Setelah itu, mereka mengangkat tangan dan mendoakan kesembuhan beliau. Pada pagi berikutnya, dengan kehendak Allah SWT, beliau berada dalam keadaan sihat.

Keempat: Amalan bersedekah dapat menjauhkan diri daripada azab api neraka. Sebagai manusia, kita pasti tidak lari daripada melakukan dosa dan maksiat. Apabila Rasulullah SAW ditanya berkaitan dengan sesuatu perkara yang besar, Baginda menjawab sedekah memadamkan dosa seperti air memadamkan api. Sesungguhnya, apakah ada nikmat yang lebih besar daripada dijauhkan azab api neraka?

Amalan bersedekah mempunyai kesan yang sangat besar terhadap seorang hamba sehinggakan orang yang meninggal dunia memohon untuk dipanjangkan hayat semata-mata mahu melakukan sedekah. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan belanjakanlah sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada seorang antara kamu, (kalau tidak) maka (pada saat itu) dia akan merayu dengan berkata, ‘Wahai Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menangguhkan kematianku sedikit waktu lagi, maka aku akan bersedekah dan aku akan menjadi orang yang soleh!”

(Surah al-Munafiqun 63:10)

Begitulah hebatnya sedekah, justeru marilah kita bersama-sama berazam memperbanyak amalan ini dalam kehidupan. Beberapa nasihat yang berikut boleh mendorong niat kita untuk melakukannya:

Pertama: Amalan sedekah merupakan peluang ibadah yang diberikan kepada semua manusia dan dilakukan mengikut kemampuan masing-masing. Sebaik-baik sedekah ialah mereka yang mendahului keperluan orang lain berbanding dengan dirinya sendiri.

Kedua: Amalan sedekah akan meninggikan darjat seseorang di sisi Allah SWT. Orang yang bersedekah akan diberikan kemuliaan memasuki syurga melalui pintu yang dikhaskan untuk pemberi sedekah.

Ketiga: Amalan sedekah menjadi penyelamat seseorang ketika berada di alam akhirat kerana sesiapa yang meringankan kesusahan saudaranya di dunia, Allah SWT akan meringankan kesusahannya di akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap pihak yang melakukan penipuan yang menjadikan kegiatan meminta sedekah sebagai pekerjaan atau saluran memperoleh pendapatan. Tindakan berkenaan merupakan perbuatan yang tidak berakhlak dan perlu dibendung bagi memelihara kesucian amalan sedekah sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 21 November 2025, bertajuk “Keajaiban Sedekah”)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi