Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkasakan budaya inovasi berteraskan nilai Ulul Albab di kampus berkenaan menerusi penganjuran dua program utamanya, iaitu Misi Pencarian IKON Ulul Albab (IKON) dan Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA-ICE) 2025.
Program anjuran Pusat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kerajaan Negeri Perak itu berlangsung selama dua hari pada 3 dan 7 Oktober 2025.
Selain itu, program ini turut berjaya menghimpunkan para peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah, sama ada dalam mahupun luar negara.
Mereka terdiri daripada para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), kolej vokasional, Sekolah Menengah Imtiaz, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Phatnawitya Yala, serta peserta dari Indonesia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Yang Berhormat (YB) Tuan Khairudin Abu Hanipah, pertandingan seumpama ini wajar diperluas pada peringkat komuniti bagi menggilap bakat mereka dalam bidang pengucapan awam, inovasi dan keusahawanan sosial.
Beliau menjelaskan bahawa sebanyak 43 penyertaan diterima bagi kategori UA-ICE pada tahun ini memperlihatkan sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai peringkat institusi pendidikan.
“Pameran dan pertandingan inovasi yang diadakan memberikan peluang kepada para peserta memperkenalkan hasil ciptaan serta menerapkan semangat ihsan dalam setiap usaha mereka,” katanya.
Sementara itu, program IKON pula menjadi platform bagi mengenal pasti tokoh pelajar yang bukan sahaja unggul dalam akademik, malah cemerlang dari segi sahsiah, kepimpinan, penguasaan bahasa asing, serta daya fikir kritikal dan kreatif.
Sebanyak 10 peserta terbaik berentap pada sesi saringan akhir bagi merebut gelaran tersebut.
Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, YBrs. Dr. Sakinah Salleh berkata, program tersebut dilihat sebagai sebuah simbol kekuatan ekosistem Ulul Albab yang berteraskan integrasi ilmu, iman dan amal.
“Kami mahu pelajar bukan sekadar menjadi pemikir hebat, tetapi juga penggerak penyelesaian berasaskan nilai Quranik yang mampu memberikan manfaat kepada ummah,” ujarnya.
Penganjuran program IKON dan UA-ICE berperanan sebagai ruang pembentukan insan yang seimbang dari aspek intelek, emosi, spiritual dan sosial selaras dengan aspirasi universiti itu melahirkan generasi Ulul Albab yang berilmu dan berakhlak.
Dengan sambutan yang memberangsangkan, pihak penganjur optimis bahawa kedua-dua program tersebut bakal dijadikan sebagai acara tahunan universiti yang berimpak tinggi, serta menjadi pemangkin kepada jaringan kolaborasi berterusan antara universiti, sekolah, industri dan masyarakat.

