Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakar satu lagi sejarah penting dalam penerbitan karya Islam apabila memeterai Perjanjian Penerbitan Ensiklopedia Hadis Nilai (Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam) Jilid 1 Hingga Jilid 4 bersama-sama tokoh ulama hadis Jordan, Syeikh Dr. Hammam Abdul Raheem Said Melhem.
Perjanjian tersebut ditandatangani dalam majlis yang berlangsung sempena Program Dakwah Negara: Kongres Ulama dan Ilmuwan Malaysia (KUIM 1.0 Terengganu) di Universiti Sultan Zainal Abidin, hari ini.
Majlis menandatangani dokumen perjanjian tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Syeikh Dr. Hammam, selaku pengarang utama Ensiklopedia Hadis Nilai yang juga Pengerusi Global al-Quds Antarabangsa.

Dalam Tausiyah Khas yang disampaikan oleh Syeikh Dr. Hammam, beliau mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang cemerlang dari sudut keilmuan.
“Sekiranya Malaysia wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW, pasti Baginda akan memuji Malaysia sebagaimana Baginda memuji negara Oman pada ketika itu,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa Malaysia memiliki ribuan mufti dan ulama atas kesarjanaan para ilmuwan yang lahir di negara ini sekali gus melambangkan keteguhan dan kemantapan sesebuah negara.
“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT akan kebaikan pada seseorang, maka Allah SWT akan menjadikannya faqih dalam agama.
“Ilmu agama merupakan ilmu yang paling agung dan paling penting daripada ilmu-ilmu yang ada di dunia kerana ilmu agama akan membawa penuntutnya ke jalan syurga, dengan izin Allah SWT,” ujarnya.
Setiap kamu perlu menjadi bintang di angkasa kerana ulama umpama bintang yang berkelipan dan memberikan panduan kepada manusia.
Syeikh Dr. Hammam turut menasihati para ilmuwan agar menjadi ulama yang wasat (seimbang) kerana umat Islam merupakan umat yang seimbang dalam segenap aspek kehidupan.

Perjanjian Penerbitan Ensiklopedia Hadis Nilai menandakan komitmen berterusan DBP untuk memperkasakan penerbitan karya ilmiah Islam serta memperkukuh jaringan kerjasama keilmuan bersama-sama ulama pada peringkat antarabangsa.
Ensiklopedia Hadis Nilai merupakan sebuah karya agung berprestij yang terdiri daripada empat jilid dengan keseluruhan 2180 halaman.
Karya yang menghimpunkan sebanyak 3788 hadis nilai serta lengkap dengan baris dan huraian ilmiah yang komprehensif ini diterbitkan oleh Dar al-Faruq, Amman, Jordan pada tahun 2022.
Ensiklopedia tersebut merupakan hasil gabungan keilmuan empat orang tokoh hadis tersohor Jordan, iaitu Syeikh Dr. Hammam Abdul Raheem Said, Dr. Ahmad Mohammad Barhoom, Dr. Mohammad Hammam Abdel Rahim Melhem dan Dr. Haitham Abd al-Ghafor Sabri.
Ensiklopedia ini disusun mengikut 11 tema nilai utama, iaitu iman, kemasyarakatan, akhlak, politik, pentadbiran, ekonomi, keilmuan, kesihatan, alam sekitar, emosi dan estetika, yang merangkumi dimensi kehidupan insan secara menyeluruh.
Pelaksanaan usaha penterjemahan dan penerbitan ini akan dijalankan secara rasmi di bawah seliaan DBP dengan bimbingan ilmiah daripada Syeikh Dr. Hammam.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Penasihat Agama kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, YBhg. Datuk Wira Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Timbalan Pengerusi NADWAH Malaysia, YBrs. Prof. Madya Sahar Sa’di Hashim; Pengarah NADWAH Negeri Terengganu, YBrs. Ustaz Muhammad Ramli Nuh; Ketua Bahagian Ensiklopedia DBP, YBrs. Encik Shah Rizal Azwan Ghazali; tetamu kehormat, ilmuwan dan para pegawai pelbagai agensi.