Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 13:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan tidak sepatutnya bagi orang yang beriman keluar semuanya (ke medan perang). Oleh itu, hendaklah sebahagian daripada mereka sahaja keluar (berperang) supaya mereka (yang tinggal) itu memperdalam ilmu pengetahuan tentang agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka itu pulang. Mudah-mudahan, mereka itu dapat menjaga diri mereka (daripada melakukan perkara yang dilarang Allah).”

(Surah al-Taubah 9:122)

Ayat tersebut menjelaskan tentang peranan umat Islam, dengan sebahagian daripadanya dipertanggungjawabkan berperang demi mempertahankan kesucian agama Allah SWT, manakala sebahagian daripada golongan yang lain pula ditugaskan mendalami ilmu untuk membangunkan ummah berilmu dan beramal soleh. Sesungguhnya, kefahaman agama hanya diperoleh melalui ilmu yang menjadi jalan menuju ke arah kemuliaan. Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Apabila Allah menginginkan kebaikan pada seseorang, Dia akan memberinya kefahaman dalam agama.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Di sisi Islam, amalan menuntut ilmu dianggap sebagai perbuatan berjihad pada jalan Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Sesiapa yang keluar kerana menuntut ilmu, maka dia berada pada jalan Allah sehinggalah dia pulang.

(Hadis riwayat al-Tirmizi)

Menuntut ilmu merupakan suatu usaha dan perjuangan mendalami, memahami, menghayati dan mengamalkan ilmu untuk kebaikan diri, masyarakat, agama dan negara. Perbuatan ini disebut sebagai jihad kerana pengorbanan besar diperlukan dari aspek masa dan harta, serta kekuatan jasmani dan mental. Menuntut ilmu juga membantu dalam pengukuhan tahap kebijaksanaan seseorang insan, melengkapkan diri demi mengatasi kebodohan dan menentang kejahilan, yang menjadi punca kemunduran, kelemahan, kegagalan dan perpecahan.

Tuntutan mempelajari ilmu merangkumi ilmu dunia dan ilmu akhirat agar kehidupan duniawi dan ukhrawi dapat dibina secara seimbang. Pada zaman moden dan serba canggih ini, ummah perlu berjihad menguasai pelbagai ilmu dunia dalam bidang penting seperti sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan, undang-undang, ekonomi dan perdagangan.

Bahkan, umat Islam pernah mengecapi era kegemilangan tamadun semasa zaman pemerintahan Abbasiyah, Andalusia dan Uthmaniyah. Kotanya diiktiraf sebagai pusat perkembangan ilmu yang dihormati dan disegani.

Peluang menuntut ilmu pada hari ini terbentang luas menerusi penawaran pendidikan dari pelbagai institusi pendidikan formal, bermula dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian pascaijazah. Sumber ilmu tidak pula terbatas pada institusi berkenaan semata-mata. Umat Islam juga mempunyai ruang untuk memperoleh ilmu, mengembangkan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran melalui pelbagai saluran tidak formal.

Kini, pondok pengajian semakin berkembang dan masjid terus diimarahkan dengan kegiatan keilmuan. Demikian juga penganjuran kelas pengajian oleh pertubuhan sukarelawan dan badan swasta. Namun begitu, sejauh manakah tahap jihad menuntut ilmu kita berjaya mencetuskan perubahan terhadap diri, keluarga, masyarakat, agama dan negara? Hakikatnya, kita perlu bermuhasabah terhadap tiga perkara berikut:

Pertama: Adakah ilmu yang dipelajari dapat membawa ummah mengenali tujuan hidup dan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT? Ilmu dengan kefahaman dan penghayatan membentuk ummah hidup dalam sistem yang teratur dan sempurna, mematuhi segala perintah dan larangan Ilahi, serta melaksanakan ibadah dengan penuh pengabdian. Ilmu menyemaikan rasa cinta kepada Allah SWT dan rasa kasih kepada Rasulullah SAW, mentaati dan mencontohi sifat terpuji, di samping menjauhi sifat tercela yang dimurkai.

Kedua: Adakah ilmu yang dipelajari dapat meningkatkan daya fikir, membentuk minda berpandangan luas dan matang? Ilmu seharusnya menjadikan seseorang berfikir secara objektif, berupaya menyelesaikan masalah secara bijak, menyuarakan pendapat yang bernas serta menyampaikan nasihat secara hormat. Ilmu yang difahami dan dihayati membantu seseorang untuk mengenali dan membezakan antara hak dengan batil, selain menapis maklumat yang diterima antara benar dengan dusta.

Ketiga: Adakah ilmu yang dipelajari, difahami dan dihayati, lalu disebarkan kepada orang lain agar membangunkan peradaban dan tamadun ummah? Ilmu bertujuan meningkatkan tahap kemajuan pemikiran dan peradaban ummah agar keluar daripada kepompong fahaman jahiliah, memerdekakan ummah daripada berjiwa hamba. Ilmu membimbing pemimpin dan rakyat supaya hidup dalam prinsip keadilan, amanah dan kesederhanaan. Ilmu membentuk jati diri agama, bangsa, sejarah dan budaya agar tidak mudah terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.

Sehubungan dengan itu, umat Islam sewajarnya mengambil perhatian terhadap peringatan berikut supaya menyedari bahawa ilmu merupakan teras kekuatan masyarakat yang bertamadun:

Pertama: Jihad menuntut ilmu merupakan jihad yang perlu dilakukan sepanjang hayat. Usahanya memerlukan pengorbanan yang tinggi dan semangat yang kental demi memartabatkan kedudukan diri, agama dan kemuliaan tamadun umat.

Kedua: Ilmu berperanan melenyapkan kejahilan dan kebatilan. Kedua-dua perkara ini berupaya menjerumuskan diri melakukan kezaliman, terdedah dengan kebejatan akhlak dan perbuatan berunsur syirik, serta amalan yang merosakkan ummah melalui penyebaran fitnah, penipuan, dakyah palsu dan pengadudombaan ummah untuk terus berselisih.

Ketiga: Ilmu membentuk akhlak dan sahsiah yang terpuji. Keadaan ini terbentuk apabila manusia mengenali dan menginsafi dirinya sebagai hamba Allah SWT, memahami segala perkara yang diperintahkan serta setiap larangan-Nya dalam bermuamalah sesama insan.

Keempat: Orang yang berilmu tidak sama kedudukannya dengan mereka yang tidak berilmu. Orang berilmu yang soleh dan bertakwa memperoleh darjat yang tinggi dan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.


(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 17 Oktober 2025, bertajuk “Jihad Menuntut Ilmu”)

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi