Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Islamic Relief terus menzahirkan komitmen terhadap misi kemanusiaan di Palestin apabila berjaya mengagihkan bantuan kepada sebuah pusat perlindungan pesakit kanser dan keluarga mereka di bandar Gaza, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), YBrs. Puan Siti Fadilah.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), YBrs. Puan Siti Fadilah Mohd. Hood berkata, inisiatif ini bukan sahaja menyediakan keperluan asas seperti makanan dan air, malah turut memberikan perhatian terhadap kesejahteraan emosi dan psikologi golongan rentan yang terkesan akibat konflik berpanjangan.

“Islamic Relief telah memulakan bantuan kecemasan fasa dua kepada penduduk Gaza dengan sumber yang terhad.

“Agihan kali ini merangkumi hidangan panas untuk 450 orang penerima termasuk 150 orang kanak-kanak, 6000 liter air bersih dan sokongan psikososial khusus untuk kanak-kanak penghidap kanser,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, segala bentuk bantuan itu hanya dapat dilaksanakan hasil sumbangan dan keprihatinan orang ramai.

Tambah Siti Fadilah, IR Malaysia turut menyeru masyarakat untuk terus bersama-sama menjayakan usaha kemanusiaan ini agar lebih banyak penerima di Gaza dapat dibantu.

“Sejak tragedi Oktober 2023, IR Malaysia telah menyalurkan dana ke Gaza dan melaksanakan beberapa projek bantuan seperti penyediaan makanan kecemasan dan perkhidmatan kesihatan, pemulihan tempat perlindungan, bantuan mata pencarian, penambahbaikan akses kepada perkhidmatan kesihatan asas, bantuan bermusim, serta bantuan bekalan air dan psikososial,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, Islamic Relief melalui 19 rangkaian pejabat telah mengumpulkan dana sebanyak RM120 juta untuk membantu penduduk Palestin melalui pelbagai sektor bantuan seperti kecemasan, kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan, makanan dan nutrisi, serta bantuan bermusim seperti Ramadan, korban dan musim sejuk.

“Semoga Allah memberkati setiap pemberian yang meringankan beban saudara kita di Palestin,” ujarnya.

Kredit Foto: IR Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi