Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Itulah batas Allah SWT (hukum syariat yakni faraid). Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, Allah SWT akan memasukkannya ke syurga yang mengalir di bawahnya sungai dan mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang agung.”
(Surah al-Nisa’ 4:13)
Sering kedengaran kisah perebutan harta pusaka dalam kalangan waris sebaik-baik sahaja seseorang ahli keluarga menghembuskan nafas terakhir. Adakalanya, belum pun jenazah disemadikan, bibit pertelingkahan sudah bermula.
Harta pusaka yang tidak diselesaikan akan membelenggu, semakin hari semakin rumit. Hal yang demikian berkemungkinan menjejaskan silaturahim dan memecahbelahkan keluarga, sedangkan pada asalnya pusaka itu amanah, bukan ghanimah (harta rampasan perang). Pusaka merupakan peluang untuk manusia beroleh keberkatan, bukan perkara yang menyebabkan pertelingkahan.
Pusaka boleh diuruskan melalui tiga kaedah, iaitu faraid, wasiat dan hibah.
Pertama: Kaedah faraid.
Menurut ulama mufasirin, ayat tentang faraid telah diturunkan pada tahun ketiga Hijrah, iaitu selepas Perang Uhud. Mukjizat al-Quran jelas terserlah melalui beberapa ayat yang meliputi keseluruhan pembahagian faraid lengkap dan dikenali sebagai ayat muhkamat, kerana tiada khilaf pada memahami maknanya.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah memerintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak kamu, (iaitu) bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan… .”
(Surah al-Nisa’ 4:11)
Ayat ini memberikan penjelasan pembahagian faraid sebagai satu kaedah pembahagian pusaka yang ditetapkan oleh Ilahi; panduan pembahagian harta pusaka secara adil dan saksama, yang dihasilkan bukan melalui musyawarah manusia dan bukan juga berdasarkan keputusan para hakim, malah hukum berlandaskan ketetapan Ilahi yang tidak boleh dipersoalkan atau dicabar dengan logik keterbatasan akal manusia.
Kedua: Wasiat.
Pembahagian harta pusaka boleh dilaksanakan melalui wasiat yang dilakukan oleh pemilik harta. Wasiat ialah pemberian harta kepada seseorang yang dikaitkan dengan kematian pemberi. Namun begitu, wasiat mempunyai syarat yang ditetapkan oleh syariat, iaitu tidak boleh melebihi satu per tiga daripada harta. Wasiat harta juga tidak boleh diberikan kepada waris yang mempunyai bahagian faraid seperti isteri, anak dan ibu bapa melainkan mendapat persetujuan waris selepas kematian pemberi wasiat.
Ketiga: Melaksanakan hibah harta semasa hidup.
Hibah ialah pemberian harta secara sukarela kepada orang lain, yang dilakukan oleh pemilik harta semasa beliau masih hidup. Hibah boleh diberi kepada sesiapa sahaja dengan syarat dilakukan secara adil serta menepati syariat dan undang-undang.
Punca Masalah Pengurusan Harta Pusaka
Masalah pengurusan harta pusaka lazimnya berpunca daripada tiga perkara, iaitu:
Pertama: Kecuaian untuk menyegerakan pembahagian pusaka. Banyak keluarga membiarkan harta si mati tanpa ditadbir, dengan alasan “kubur masih merah” dan dengan niat untuk menjaga keharmonian dalam kalangan waris. Perbuatan melengahkan urusan pembahagian pusaka orang yang telah meninggal dunia boleh menjadi benih persengketaan. Akibatnya, ada harta pusaka digunakan tanpa keizinan waris yang lain, atau lebih buruk lagi, harta terbiar tanpa dimanfaatkan.
Kedua: Sifat tamak dan perbuatan menipu ketika mengurus pembahagian harta pusaka. Hal ini boleh terjadi apabila terdapat waris yang mengambil kesempatan menguasai harta secara tidak sah, lantas menafikan hak saudara sendiri. Perbuatan tersebut bukan sahaja tidak adil, malah berunsur kezaliman, serta suatu bentuk pencurian yang akan dipersoalkan di akhirat
Daripada Sa‘id bin Zaid r.a., beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Sesiapa yang merampas sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan mengalungkan dia dengannya daripada tujuh lapis bumi pada hari kiamat.’” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ketiga: Kejahilan berlaku apabila masyarakat tidak memahami kaedah pengurusan harta pusaka dan tidak tahu proses yang sah di sisi undang-undang syariah, lalu menyerahkan urusan penting ini kepada orang yang tidak berpengetahuan. Akibatnya, harta tidak dapat diuruskan dengan baik dan tepat.
Kesedaran Umat Islam
Dalam pengurusan harta pusaka, umat Islam perlu mengambil perhatian terhadap enam perkara berikut:
Pertama: Pengurusan pusaka sangat penting dan tidak boleh dianggap remeh kerana kegagalan menguruskannya secara cepat dan betul, boleh memberikan kesan langsung terhadap keharmonian keluarga, di samping menyebabkan pembaziran sumber ekonomi kerana tidak dapat digunakan secara produktif.
Kedua: Pengurusan pusaka hendaklah disegerakan. Tindakan melewat-lewatkan pembahagian pusaka menyebabkan banyak kesulitan, bahkan menjadi bertambah rumit apabila ada dalam kalangan waris pula menyusul meninggal dunia sebelum pembahagian pusaka dapat diselesaikan.
Ketiga: Waris yang mengurus pusaka hendaklah menunaikan hak waris lain secara telus dan amanah, tanpa bertangguh dan tanpa melakukan tipu helah. Sesiapa yang dinamakan sebagai wasi (وَاصِي), yakni pemegang amanah harta, penuhilah amanah dengan adil lagi saksama.
Keempat: Pembahagian pusaka dengan persetujuan bersama diharuskan dengan syarat mendapat persetujuan semua waris tanpa paksaan atau kekaburan. Pembahagian faraid hendaklah dibuat terlebih dahulu sehingga waris maklum akan bahagian masing-masing. Kemudian, barulah diminta persetujuan jika ingin membuat pembahagian secara sama rata atau seumpamanya.
Kelima: Berwasiatlah mengikut syariat. Pastikan wasiat diurus secara jelas melalui dokumen yang sah berlandaskan undang-undang dengan memilih peguam, perancang hartanah atau organisasi pengurusan harta pusaka yang boleh dipercayai dan diiktiraf.
Keenam: Proses hibah boleh dijadikan pilihan dalam pengurusan harta sebelum kematian.
(Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 8 Ogos 2025, bertajuk “Pengurusan Pusaka: Uruskan Segera – Elakkan Sengketa)