Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRiba merujuk penambahan atau lebihan yang dikenakan ke atas pinjaman atau pertukaran barangan tanpa ada nilai tambah yang setimpal. Amalan riba merupakan satu daripada dosa besar yang mesti dijauhi oleh setiap individu yang beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya.
Mengingkari larangan ini menyebabkan seseorang boleh dianggap mengisytiharkan perang terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW, seperti yang termaktub dalam Surah al-Baqarah ayat 279 yang bermaksud,
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu bahawa akan adanya peperangan daripada Allah SWT dan rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Dalam konteks moden, riba sering dikaitkan dengan faedah yang dikenakan oleh institusi kewangan konvensional. Riba, atau faedah dalam sistem kewangan konvensional, merupakan isu yang sering dibincangkan dalam konteks kewangan Islam. Oleh itu, amat penting untuk memupuk kesedaran tentang hal ini memandangkan masih banyak pihak, khususnya orang beragama Islam yang masih bergelumang dalam dosa riba.
Dalam ucapan oleh penasihat syariah dan juruaudit bertauliah, al-Fadil Ustaz Nazri Chik, beliau memaklumkan bahawa jumlah pendeposit dalam bank Islam di Malaysia didominasi oleh masyarakat bukan Islam. Dalam satu laporan berkaitan dengan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), direkodkan bahawa masih lebih kurang 70 peratus pencarum beragama Islam yang belum bertukar kepada skim patuh syariah.
Pada hakikatnya, caruman patuh syariah ini bukanlah suatu pilihan bagi umat Islam, bahkan kefarduan yang perlu dilaksanakan sesegera mungkin. Dapatan ini amat mendukacitakan kerana Malaysia yang dikenali sebagai pemacu utama industri kewangan Islam pada peringkat global tidak seperti yang dicanangkan apabila data menunjukkan bahawa orang Islam masih terkebelakang, malah tidak mengendahkan ancaman riba seperti yang dijelaskan dalam ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Syeda Fahmida Habib menjelaskan riba boleh menyebabkan kemudaratan seperti yang berikut:
Penghutang membayar faedah kepada pemiutang tanpa mengira keuntungan atau kerugian aktiviti ekonomi daripada pinjaman tersebut. Sekiranya keuntungan perniagaan tersebut kurang daripada pembayaran faedah, atau jika terdapat kerugian, maka peminjam masih perlu membayar faedah atau peminjam terpaksa menutup perniagaan disebabkan oleh kemuflisan dek tidak mampu membayar kembali hutang kepada pemiutang.
Riba boleh menyebabkan syarikat diisytiharkan muflis apabila peminjam tidak dapat membayar faedah atas pinjaman mereka, yang membawa kepada kehilangan pekerjaan bagi pekerja mereka dan kehilangan prospek produktif bagi masyarakat secara keseluruhan. Kadar faedah yang tinggi boleh menyebabkan ahli perniagaan tidak mampu atau malah enggan meminjam daripada bank, seterusnya menghalang pertumbuhan dan produktiviti sektor perniagaan.
Dari segi kesan terhadap ekonomi, beban hutang yang berat yang ditanggung oleh beberapa negara menyukarkan mereka untuk pulih daripada ekonomi yang tertekan, sehingga menyebabkan penderitaan berterusan kepada seluruh masyarakat.
Jika perniagaan berjalan dengan baik, jumlah faedah masih kekal sama. Oleh itu, pemberi pinjaman tidak dapat memanfaatkan keuntungan yang tinggi.
Hal ini dikatakan demikian kerana peruntukan sumber tersebut dikaitkan dengan kelayakan kredit peminjam dan sebarang cagaran yang boleh disediakan oleh peminjam dan bukannya produktiviti aktiviti ekonomi atau kemahiran peminjam.
Menurut pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Allah SWT tidak membiarkan golongan kaya hidup tanpa kewajipan membantu golongan yang memerlukan. Keseimbangan dan kelancaran hubungan antara orang kaya dengan miskin hanya dapat dicapai melalui pendekatan seperti ini. Jika orang kaya mengamalkan riba terhadap orang miskin, maka keadaannya seperti seorang yang berhutang tetapi menghalang pemberi hutang daripada mendapatkan haknya, malah menindasnya dengan menuntut lebihan bayaran, sedangkan si penghutang amat memerlukan bantuan tersebut. Tindakan ini merupakan bentuk ketidakadilan yang paling berat.
Berdasarkan pernyataan tersebut, Mustapha Sidi Attahiru menyatakan bahawa riba membawa pelbagai kesan negatif seperti ketidakadilan, rasuah, penyelewengan harta orang lain dan pertumbuhan ekonomi negatif. Sistem ini juga merendahkan peningkatan keperibadian manusia berikutan berlaku peningkatan dalam transaksi yang berkaitan dengan riba. Oleh itu, menyesuaikan diri dengan etika Islam pada peringkat perniagaan menjadi satu-satunya penyelesaian kepada kesan pemusnahan riba terhadap ekonomi.
Dalil Pengharaman Riba dalam al-Quran
Pengharaman riba telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui beberapa peringkat pewahyuan seperti yang berikut:
1. Surah al-Baqarah (2:275‒276)
“Orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata: ‘Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba.’ Padahal Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barang siapa mendapat peringatan daripada Tuhannya, lalu dia berhenti, maka apa-apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah SWT. Barang siapa mengulangi (mengambil riba), maka mereka itu penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya. Allah SWT memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Allah SWT tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”
2. Surah al-Baqarah (2:278‒279)
“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah SWT dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya, maka umumkanlah perang daripada Allah SWT dan rasul-Nya. Akan tetapi, jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas pokok hartamu. Kamu tidak berbuat zalim (merugikan) dan tidak dizalimi (dirugikan).”
3. Surah Ali ‘Imran (3:130)
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kepada Allah SWT agar kamu beruntung.”
4. Surah al-Nisa’ (4:161)
“Disebabkan mereka memakan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang kafir antara mereka seksa yang pedih.”
Dalil Pengharaman Riba Berdasarkan Sunah
Rasulullah SAW telah mengharamkan riba dengan tegas dalam beberapa hadis, antaranya termasuklah:
1. Hadis Riwayat Muslim, No. 1598
Maksudnya: “Jabir berkata bahawa Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi makan dengan riba, orang yang menulis transaksi riba dan saksi-saksinya, dan Baginda bersabda: ‘Mereka semua sama sahaja.’”
2. Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 3331
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Riba itu mempunyai 70 pintu (bahagian). Yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seorang lelaki yang menikahi ibunya sendiri.”
3. Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 2177 dan Muslim, No. 1584
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali sama (nilainya) dan janganlah menambah sebahagian atas sebahagian yang lain; janganlah menjual perak dengan perak kecuali sama (nilainya) dan janganlah menambah sebahagian atas sebahagian yang lain; dan janganlah menjual sesuatu yang tidak tampak dari kedua-duanya dengan yang tampak.”
4. Khutbah Terakhir (Khutbah Wada‘), Hadis Riwayat Muslim, No. 1218
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ingatlah bahawa setiap bentuk riba daripada zaman jahiliah telah dibatalkan, dan modal asal kamu ialah hak kamu. Kamu tidak dizalimi dan tidak menzalimi.”
Kategori Riba Menurut Syariah
Berdasarkan dalil larangan tersebut, para sarjana membahagikan riba kepada beberapa kategori berdasarkan amalan tradisi orang terdahulu, atau contoh semasa yang signifikan dengan riba. Secara umumnya, riba dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu:
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.