Diterbitkan pada 27 Jun 2025, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), YBhg. Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot diiktiraf sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1447H dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.

Anugerah tersebut dikurniakan atas jasa dan sumbangan besar beliau terhadap negara dan pada peringkat antarabangsa dalam bidang fatwa dan syariah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepada beliau berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Beliau yang juga merupakan mantan Mufti Johor menzahirkan rasa syukur apabila dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan berharap agar terus bersemangat menabur bakti demi pembangunan ummah dan menegakkan syiar Islam di Malaysia.

Anak jati Johor ini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI sejak Ogos 2022; dan sebagai Mufti Johor yang ke-11 pada tahun 1999 hingga tahun 2008 semasa pentadbiran Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.

Terdahulu, tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini ialah “Membangun Ummah MADANI”.

Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan ini dihadiri oleh kenamaan dan tetamu kehormat seperti Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohamad Na’im Mokhtar dan Menteri Kabinet.

Turut hadir dalam majlis ini ialah kontinjen dari kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan perwakilan asing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi