Diterbitkan pada 19 Jun 2025, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) memperkasakan budaya ilmu dan penciptaan produk inovasi Islamik.

Perbincangan dua hala yang berlangsung pada 17 Jun 2025 di UniSIRAJ itu melibatkan wakil daripada bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Perlis dan delegasi Fakulti Pengajian Islam UniSIRAJ.

Menurut Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran UiTM, Puan Nur Syafiqah Rahim, kedua-dua institusi mempunyai kepakaran yang boleh digembleng untuk memacu kecemerlangan ummah.

“UiTM Cawangan Perlis dan UniSIRAJ boleh menganjurkan kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan penerbitan kerana mempunyai banyak kepakaran yang boleh memacu ke arah kecemerlangan ummah,” katanya.

Tambah beliau, penciptaan produk inovasi berteraskan nilai Islam mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah sosial dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Pengharmonian bidang STEM dan ilmu berpaksikan ajaran Islam mampu melahirkan generasi berakhlak, berilmu dan berdaya cipta dalam usaha membentuk ummah yang seimbang dari segi rohani dan intelek,” ujarnya.

“Hal ini penting bagi memastikan setiap penyelidikan saintifik yang dijalankan mengikut etika dan moral agar tidak melanggar hak-hak kemanusiaan,” tambah beliau lagi.

Delegasi UiTM Cawangan Perlis turut mempelawa warga UniSIRAJ menyertai program inovasi The 7th International Innovation Design and Articulation (i-IDeA 2025) yang dijadualkan berlangsung pada 9 September hingga 11 September 2025.

Delegasi UniSIRAJ diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pengajian Islam, YBrs. Dr. Muhammad Muthi’ul Haqq Fatah Yasin; Ketua Jabatan Syariah, Encik Ahmad Ismail; Ketua Program Pengajian Islam, Encik Mohd Hanif Hazahari; dan Penyelaras Latihan Industri, Puan Mariyah Ishak.

Sementara itu, delegasi UiTM Cawangan Perlis diwakili oleh Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan, YBrs. Dr. Muhammad Faiz Pa’suya; Pengerusi Inovasi i-IDeA 2025 , YBrs.Dr. Ang Lee Sin; serta YBrs. Dr. Rozilah Rajmi dan Puan Suhaida Dila Safian dari Fakulti Sains Gunaan.

Kredit Foto: Rozilah Rajmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi