Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasakan paduan ilmu aqli dan naqli sebagai falsafah penubuhannya sejak 25 tahun yang lalu demi memartabatkan pendidikan Islam bagi menyusuri arus perdana pengajian tinggi di Malaysia.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata bahawa idea penubuhan Kolej Univerisiti Islam Malaysia (KUIM) telah dimulakan sejak tahun 1998 lagi.

“Pada tahun 2005, KUIM berpindah ke kampus tetap di Nilai dan dinaik taraf kepada Universiti Sains Islam Malaysia pada tahun 2007,” katanya semasa berucap dalam majlis Sambutan 25 Tahun USIM, hari ini.

Menurut beliau lagi, hingga kini, USIM berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan dengan menjadi sebuah pusat rujukan bertaraf antarabangsa di samping peringkat kebangsaan.

Antara pencapaian terbesar yang dicapai oleh USIM termasuklah menjadi badan yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menganugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah dalam bidang Pengajian al-Quran dan al-Sunah kepada Sheikh al-Azhar, al-Sharif Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad al-Tayyeb semasa Simposium Antarabangsa Malaysia MADANI 2024.

Selain itu, USIM juga diberi amanah oleh Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Institut Bahasa Arab dengan kerjasama Universiti al-Azhar al-Sharif sebagai pusat persediaan bahasa Arab bagi pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Mesir dan telah pun mendapat kelulusan rasmi KPT pada Januari 2025 yang lalu.

Di samping itu, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM terus mengorak langkah sebagai pusat rujukan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), terutamanya dari aspek pengajian agama seperti penghasilan buku panduan haji versi Braille, aplikasi al-Quran isyarat dan peranti elektrik khas bagi kegunaan OKU cacat penglihatan (eBRELLE).

Majlis Sambutan 25 Tahun USIM ini seterusnya dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud yang merupakan Tuanku Canselor USIM.

Majlis gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh barisan kenamaan dan tetamu jemputan, antaranya termasuklah Pro-Canselor USIM, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Abdul Wahid Omar; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Ahli Lembaga Pengarah USIM, Timbalan-timbalan Naib Canselor USIM, mantan Ahli-ahli Lembaga Pengarah USIM, mantan Naib Canselor USIM, dan warga USIM sekaliannya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi