Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan carilah pahala dan kebahagiaan hari akhirat dengan harta kekayaan yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi jangan kamu lupa akan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-ruah). Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”
(Surah al-Qasas 28:77)
Zuhud dari segi bahasa bermaksud meninggalkan sesuatu kerana tidak berhajat kepadanya, iaitu memerihalkan seseorang yang soleh hidupnya, serta tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia. Menurut pengertian agama, zuhud merujuk sikap meninggalkan perkara duniawi yang tidak memberikan manfaat untuk akhirat, demi memperoleh keredaan Ilahi untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.
Seorang lelaki mengajukan soalan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan yang jika aku lakukan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Zuhudlah terhadap dunia, maka engkau akan dicintai oleh Allah, dan zuhudlah terhadap apa-apa yang ada pada manusia, maka engkau akan dicintai oleh manusia.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Imam al-Ghazali melalui karyanya, Ihya’ Ulumuddin membetulkan kekeliruan pandangan tentang zuhud dengan menyatakan, “Ketahuilah, banyak orang beranggapan bahawa orang yang meninggalkan harta duniawi ialah orang yang zuhud. Padahal tidak mesti demikian. Meninggalkan harta dan berpenampilan “buruk” mudah dan ringan sahaja bagi mereka yang mengharapkan digelar sebagai seorang zahid.”
Imam al-Ghazali selanjutnya berkata, “Bukanlah zuhud itu bermaksud kamu tidak memiliki sesuatu, tetapi zuhud ialah kamu tidak dikuasai oleh apa-apa yang kamu miliki.” Maka itu, dapat kita fahami bahawa sifat zuhud bukan penghalang untuk menjadi orang yang kaya dan berjaya di dunia, tetapi sifat zuhud menjadi pelindung daripada sifat tamak dan lalai terhadap akhirat.
Sebahagian mukmin tersalah faham akan maksud zuhud dengan anggapan bahawa zuhud itu meninggalkan seluruh hal keduniaan, memakai pakaian lusuh, tidak mengurus diri, menjadi fakir, hidup dalam serba kekurangan, tidak boleh membawa anak dan isteri melancong, malah zuhud dikatakan hanya berlaku dalam kalangan ahli sufi. Sebaliknya, ilmuwan Islam menjelaskan bahawa zuhud bukan bermaksud mengetepikan sepenuhnya hal keduniaan, tetapi zuhud ialah sifat yang tidak meletakkan dunia dalam hati, atau hanyut dengan tipu daya keduniaan.
Salah faham terhadap pengertian zuhud menyebabkan ada golongan yang meninggalkan perniagaan dan pekerjaan, menolak kemajuan, dan memilih hidup dalam kemiskinan serta terpinggir daripada masyarakat. Sedangkan Islam tidak pernah melarang umatnya mengumpul harta dan berpakaian indah, bahkan Islam menganjurkan umatnya agar bersungguh-sungguh mencapai kemajuan serta memiliki kekayaan agar dapat menginfakkan hartanya pada jalan Allah yang dapat memanfaatkan orang lain.
Salah faham terhadap erti zuhud turut terzahir melalui tindakan memilih pakaian lusuh, serta tidak mengurus kebersihan diri sehingga badan berbau dan menimbulkan perasaan kurang senang jemaah lain apabila mereka hadir untuk bersolat dan beribadah di dalam masjid. Hal ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT melalui ayat 31 Surah al-‘Araf yang bermaksud, “Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mendirikan solat), dan makan dan minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”
Zuhud mengubat jiwa mukmin agar tidak berduka cita apabila kehilangan hal keduniaan, dan tidak terlalu gembira apabila memperoleh hal dunia selaras dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Kamu diberitahu tentang hal itu) agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa-apa yang luput daripada kamu dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa-apa yang diberikan kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri.”
(Surah al-Hadid 57:23)
Dalam kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW, ada yang kaya-raya, namun bersifat zuhud. Sayidina Uthman bin Affan r.a. dan Sayidina Abdul Rahman bin ‘Auf r.a., antara sahabat yang terkenal dengan kekayaan dan kezuhudan. Mereka sentiasa bersedia mengorbankan harta benda pada jalan Allah, kerana harta tidak pernah mengikat hati mereka daripada mengejar akhirat.
Dalam kehidupan harian, hendaklah kita menjadikan contoh orang yang telah dilimpahi dengan kekayaan, tetapi memilih untuk hidup secara sederhana dan tidak mengamalkan sifat bermewah-mewah, untuk bermegah dan berbangga diri dengan rumah besar, kenderaan mewah dan pakaian berjenama. Sebaliknya, mereka secara bersembunyi mendermakan sebahagian kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk membina sekolah, hospital, masjid, asrama pelajar, kediaman anak yatim, dan juga rumah untuk fakir miskin, di samping menyediakan biasiswa, bantuan bencana dan bantuan perubatan.
Inilah antara wajah zuhud sebenar. Seorang jutawan dan hartawan, begitu juga seorang petani dan pekerja biasa, boleh menjadi zuhud. Zuhud bukan ditentukan kerana memiliki harta yang sedikit, bukannya pada pakaian yang lusuh, bukannya kerana tinggal di pondok usang di pinggir desa, tetapi zuhud terletak pada hati yang tidak menjadi hamba dunia.
Kesimpulannya, sifat zuhud mendidik umat Islam agar tidak leka dan hanyut dengan arus keduniaan, serta tahu membezakan hal keduniaan yang mendatangkan manfaat atau sebaliknya. Mukmin yang memiliki sifat zuhud tidak akan menyisihkan sepenuhnya kehidupan dunia, tetapi bijak mengimbangkan fikiran, hati dan nafsu agar tidak taasub dengan kemewahan dunia. Muslim yang memiliki sifat zuhud, bijak memanfaatkan dunia untuk bekalan akhirat. Semoga Allah menjadikan hati kita hati yang zuhud, reda dan bergantung harap pada-Nya semata-mata.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 13 Jun 2025, bertajuk “Zuhud dalam Kehidupan Seorang Muslim”