Diterbitkan pada 2 Jun 2025, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 111 orang pelajar berusia antara sembilan hingga 16 tahun menyertai Kem Awal Remaja Islam (KERIS 2.0) yang diadakan di Dewan Kuliah LT5, UiTM Cawangan Perlis pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025.

Program anjuran SIG Islamic Education & Human Development (IEHDev) UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini memberikan tumpuan terhadap pembentukan jati diri remaja dari perspektif Islam.

Peserta didedahkan dengan konsep fiqh aqil baligh merangkumi perubahan fizikal, emosi dan spiritual, serta peranan ibu bapa dalam usaha membimbing anak menghadapi fasa kritikal ini.

“Dalam era globalisasi dan arus maklumat yang pantas, remaja Islam kini menghadapi pelbagai cabaran dari segi kefahaman agama dan pengukuhan identiti diri,” ujar Dr. Noraini Binti Ismail, Pengarah Program merangkap Ketua SIG IEHDev.

Beliau menambah, “Melalui KERIS 2.0, kami berhasrat bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu fiqh aqil baligh secara tepat dan berkesan, tetapi juga untuk membimbing remaja agar dapat mengekalkan keimanan dan akhlak mulia di tengah tekanan sosial dan budaya yang berubah.”

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh dan turut dihadiri beberapa orang tetamu kenamaan termasuklah Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail dan Ustaz Ishak Abu Bakar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi