Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan melancarkan buku terkininya, The Future of Islamic Finance terbitan Penerbit USIM di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), petang tadi.
Buah tangan YB Senator pada kali ini membawa pembaca untuk melihat masa hadapan kewangan Islam dalam usaha membantu masyarakat di Malaysia memahami konsep pengurusan kewangan Islam.
Menurut YB Senator Dr. Zulkifli, keterlibatan beliau dalam bidang kewangan Islam selama 20 tahun menjadi pencetus beliau untuk melahirkan buku yang merumuskan pengalaman dan ilmu dalam bidang ini sebagai rujukan masyarakat.

Dalam segmen “Biar Buku Bicara” itu, beliau berkata,
Genap 20 tahun saya dalam bidang kewangan Islam, jadi saya merasakan keperluan penulisan yang merumuskan pengalaman dan sedikit ilmu dalam bidang ini.
“Pengalaman saya bukan sahaja di Malaysia, malah saya pernah berkhidmat di Dubai, kemudian melaksanakan kajian di New York, mengembara ke United Kingdom, dan kita dapat lihat amalan kewangan Islam itu di beberapa negara seluruh dunia,” tambah beliau lagi.
Menurut beliau, Malaysia merupakan negara nombor satu dunia di bawah Global Islamic Economic Indicator dalam pengamalan sistem kewangan Islam.
Namun begitu, buku ini dihasilkan sebagai satu daripada medium untuk menambah baik sistem sedia ada dan bersedia dengan keperluan pada masa hadapan.
Dalam majlis yang sama, Affin Islamic Bank turut bersama-sama menyokong usaha murni ini dengan memberikan sumbangan berjumlah RM9,500 kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), termasuklah tajaan sebanyak 50 naskhah buku tersebut kepada pensyarah dan pelajar USIM yang hadir.