Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 08:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 60 keluarga di sekitar Perlis telah menerima sumbangan menerusi program Bakul Sinar Aidilfitri yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, semalam.

Penerima sumbangan terdiri daripada penduduk Kampung Chelong, Kampung Kubang Perun, Kampung Baru Guar Nangka, Kampung Perit, Kampung Gial Menyatuh, Komuniti Jalan Padang Nyu, Kampung Guar Nangka, Kampung Gial Tengah dan RPA Mata Ayer 2.

Menurut Pengarah Program, Puan Azliana Ramli, tujuan penganjuran program ini adalah untuk menyampaikan sumbangan barang keperluan asas dapur kepada penduduk yang kurang berkemampuan di sekitar Perlis.

“Dengan semangat bersedekah dan berkongsi rezeki pada bulan Ramadan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis menerusi Fakulti Sains Gunaan menganjurkan program amal Bakul Sinar Aidilfitri bagi membantu penduduk di sekitar Perlis yang tidak bekemampuan,” kata beliau.

Beliau berkata, sebanyak 46 orang warga UiTM Cawangan Perlis yang terdiri daripada golongan akademia Fakulti Sains Gunaan daripada pelbagai bidang dan gred telah menyertai program amal ini.

“Saya amat terharu dengan semangat kebersamaan dan kecaknaan para pensyarah Fakulti Sains Gunaan yang sudi meluangkan masa dan tenaga untuk menyertai program amal ini walaupun sibuk memenuhi beban tugas staf akademik, ” tambahnya.

Beliau juga berkata, sebanyak 10 orang kru yang diwakili oleh wakil penduduk kampung turut membantu melancarkan proses penyampaian sumbangan kepada penduduk yang telah dikenal pasti layak menerima bantuan tersebut.

“Kesepakatan dan sinergi antara warga universiti dengan komuniti yang ditunjukkan dalam program ini menyokong pertumbuhan dan pembangunan sosial masyarakat Perlis,” kata beliau.

Sumbangan Bakul Sinar Aidilfitri berbentuk keperluan asas dapur yang merangkumi gula pasir, tepung gandum, bihun, serbuk kari, susu pekat, serbuk teh, serbuk kopi, serunding, beras, kordial sirap, santan kotak dan pes rendang berjumlah RM3360.00.

Program yang bermula pada pukul 9.30 pagi berakhir pada pukul 11.30 pagi tersebut telah meningkatkan nilai kemanusiaan dan merapatkan ukhuwah antara komuniti dengan warga universiti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi