Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 20 keluarga asnaf di Kampung Baru Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis menerima sumbangan keperluan asas menjelang Hari Raya Aidilfitri menerusi Program Jaulah 4.0 – Mobile Raya Gift 2025 yang berlangsung pada 18 Mac 2025.

Program anjuran RIG Communicare UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis (CommUniCare) dan Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Perlis ini bertujuan untuk membantu golongan asnaf menghadapi persiapan Syawal.

Menurut Pengarah Program, YBrs. Encik Muhammad Arif Hashim, program ini menyemarakkan empati dan keprihatinan masyarakat dalam usaha meringankan beban komuniti asnaf di kampung tersebut.

Program ini memberikan sokongan emosi dan kasih sayang kepada keluarga asnaf.

“Program ini juga menyemai nilai kemanusiaan serta semangat kesukarelawan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang penuh berkat,” katanya.

Beliau menambah bahawa program ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan pelbagai aktiviti termasuk ziarah serta sumbangan kepada komuniti di lokasi lain.

“Usaha ini penting bagi memahami keperluan komuniti secara kolektif serta merangka program lain yang boleh memberikan manfaat kepada mereka,” jelas beliau.

“Penganjuran program ini akan meningkatkan ketampakan Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis dan menjadi pemangkin kepada institusi pendidikan tinggi lain untuk terus melakukan kebajikan menerusi program berimpak kepada komunti yang disasarkan,” katanya lagi.

Antara barangan keperluan asas yang disalurkan termasuklah beras, minyak masak, gula, tepung, krimer manis, sardin, biskut krim, garam, serbuk kopi dan teh, hasil sumbangan dana orang ramai yang berjumlah RM1,565.

Program bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 11.00 pagi di Masjid Al-Mustaghfirin dan sumbangan dihantar secara konvoi menggunakan empat buah kenderaan ke lokasi penerima.

Ahli CommUniCare yang turut terlibat dalam program ini ialah YBrs. Dr Noraini Ismail, YBrs. Puan Nur Firdaus Abdul Rashid, Encik Abdul Hapes dan YBrs Dr. Mimi Diana Ghazali yang merupakan pensyarah pelbagai bidang di UiTM Cawangan Perlis.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Masjid Al-Mustaghfirin, Encik Suhaimi Bahari.

Kredit Foto: CommUniCare
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi