Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Kakitangan dan pelajar Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) menyerahkan bantuan barang keperluan asas kepada masyarakat Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang, di sini, sempena program Ramadan Donation Drive 2025 yang dijalankan sepanjang Januari dan Februari lalu.
Menurut ELMU, lawatan kali pertama ELMU ke perkampungan tersebut berjaya mengeratkan hubungan antara warga universiti tersebut dengan penduduk yang terdiri daripada suku kaum Temuan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ELMU, YBrs. Encik Sahrul Haslan Hassan berkata, “Yang menariknya, walaupun bantuan ini merupakan barang keperluan asas bagi menyambut Ramadan, tiada diskriminasi agama dan kaum dalam pengagihan bantuan tersebut.”
“Kesemua 53 keluarga di sini menerima bantuan termasuklah keluarga bukan Islam malah kaum Cina dan India yang mendiami kampung ini turut menerima bantuan yang diberikan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan berkenaan.
Encik Sahrul berkata, bantuan tersebut merupakan hasil inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ELMU dengan sokongan Naib Canselor dan Ketua Eksekutif ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed dan pengurusan tertinggi universiti itu.
Beliau menjelaskan, “Program ini bertujuan untuk menggalakkan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan warga ELMU dengan mempromosikan aktiviti kemasyarakatan.”
“Kami berharap semangat memberi ini dapat disemai dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti, sekali gus memastikan golongan yang memerlukan dapat menyambut Ramadan dengan lebih selesa,” tambahnya.
Encik Sahrul turut menyatakan bahawa usaha seperti ini akan diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti, khususnya di Negeri Sembilan.
“Ini bukan program pertama dan terakhir, malah menjadi pencetus untuk kami menganjurkan lebih banyak program yang bermanfaat untuk masyarakat Orang Asli di seluruh negeri ini,” tambahnya.

Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Kumpulan, ELMU, Encik Shiz Kassim; Pengurus Hal Ehwal Pelajar, Puan Norbasheerah Amir Hamzah; Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Seremban/Port Dickson/Rembau, Encik Mohd Khairul Anuar Abu Khamis; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Puan Melisa Johari; serta Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Encik Omar Goming.