Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa menjadi inspirasi utama perasmian Surau Ruhaniah Noor Mohamediah di kampus Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Bandar Enstek, Nilai, baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, surau tersebut dinamakan sempena nama bapanya, Noor Mohamed, yang digabungkan dengan nama ibu kepada rakan kongsi beliau yang juga Timbalan KPE ELMU, YBhg. Dato’ Hairul Ridza Hayata, iaitu Hajah Rohani Baba.
“Saya dan Dato’ Hairul bersepakat meminta ibu saya Hajah Fatimah Sham Abdul Razak dan ibu beliau, Hajah Rohani Baba untuk merasmikan Surau Ruhaniah Noor Mohamediah sebagai manifestasi kasih sayang kami terhadap orang tua kami.
“Mereka telah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk peribadi, kehidupan dan kerjaya kami, sehingga kami bertemu hadirin di kampus ini bagi sama-sama membangunkan ELMU sebagai pusat ilmu yang merintis bidang pendidikan penguatkuasaan, kepimpinan dan pengurusan bukan sahaja di Malaysia tetapi di Rantau Asia amnya,” ujarnya.
Beliau berharap Surau Ruhaniah Noor Mohamediah akan menjadi pusat keagamaan dan mercu tanda kebanggaan komuniti ELMU.
“Insya-Allah, surau ini akan menjadi tempat untuk beribadah, bermunajat, dan mengeratkan lagi ukhuwah sesama ahli komuniti universiti ini, lebih-lebih lagi bulan Ramadan akan menjelang tidak lama lagi,” tambahnya.
Yang turut dihadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ELMU, Datin Noraini Aripin, Ketua Pegawai Eksekutif, Bin Zayed International (M) Bhd., Dato’ Seri Mohd Shamir Abdullah, Imam Masjid Bandar Enstek, Ahmad Fahmi Dzulkifli, mantan Pengurus Radio Klasik, Haji Zazmie Zain dan komposer terkenal, Dato’ Wah Idris.