Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPembinaan sesuatu takwim lazimnya berpandukan keberadaan dan kedudukan jasad samawi di langit seperti matahari, bulan dan bintang. Terdapat dua jenis takwim utama yang digunakan di Malaysia, iaitu takwim suria (takwim Masihi) dan takwim qamari (takwim Hijrah).
Takwim suria ialah takwim yang berasaskan tempoh pergerakan bumi mengelilingi Matahari untuk menghasilkan satu putaran lengkap selama 365 hari 5 jam 48 minit 45.3 saat. Takwim qamari pula merujuk pergerakan bulan yang mengelilingi bumi selama 29.530589 hari bagi kitaran satu bulan dan 354 hari 8 jam 49 minit untuk kitaran 12 bulan yang lengkap.
Fasa Bulan Asas Pengiraan Takwim Qamari
Apabila bulan mengelilingi bumi, bulan memantulkan cahaya daripada sinaran matahari dalam pelbagai bentuk yang berbeza-beza selama satu bulan (29.530589 hari). Fenomena kemunculan bentuk bulan ini dikenali sebagai fasa bulan. Fasa bulan ini bermula daripada anak bulan, bulan sabit, bulan separa, bulan hampir purnama sehingga bulan purnama sebelum kembali mengecil menjadi fasa anak bulan semula.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan bulan pula kami takdirkan beredar melalui beberapa peringkat (manzilah), sehingga pada akhir peredarannya kelihatan kembali kepada peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.”
(Surah Yasin 36:39)
Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Kajian Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM, YBrs. Ustaz Shahril Azwan Hussin ketika membentangkan kertas kerja beliau bertajuk “Kaedah Penetapan Awal Ramadan di Malaysia” dalam Seminar Ambang Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2025 berkata,
Perbezaan hari antara takwim suria dengan takwim qamari sekitar 10 hari hingga 11 hari. Oleh sebab itu, permulaan takwim Hijrah pada setiap tahun akan berganjak lebih awal sama ada 10 atau 11 hari berbanding dengan takwim Masihi kerana jumlah harinya kurang daripada jumlah hari dalam tahun Masihi.
Jenis Takwim Hijrah
Takwim Hijrah terbahagi kepada empat jenis berdasarkan kaedah penentuan permulaan bulan Hijrah, iaitu:
i) Takwim Istilahi
Takwim ini bersifat anggaran sahaja untuk menentukan permulaan bulan Hijrah pada masa hadapan dan bukannya bersifat ketetapan yang khusus bagi pelaksanaan ibadah. Penentuan jumlah hari pada setiap bulan Hijrah dikira sebanyak 30 hari dan 29 hari secara berselang-seli, iaitu bermula pada 30 hari Muharam, 29 hari Safar dan berakhir dengan 29 hari Zulhijah. Takwim ini membuat pusingan setiap 30 tahun bagi mengatasi ralat sebanyak 0.367068 hari menerusi tahun kabisah (tahun lompat). Tahun kabisah akan berlaku pada tahun ke-2, 5, 7, 10, 13, 16, 18, 21, 24, 26 dan 29 dengan memasukkan lebihan satu hari pada bulan Zulhijah tahun berkenaan.
ii) Takwim Hakiki
Pembinaan takwim ini berdasarkan tempoh ijtimak matahari dan bulan atau dikenali sebagai fasa bulan gelap (perkumpulan matahari dan bulan dalam satu garisan selari sebelum lahirnya anak bulan baharu).

Pada kebiasaannya, permulaan bulan baharu akan ditentukan pada hari akhir dalam bulan hijrah terdahulu, iaitu pada 29 hari bulan tanpa mensyaratkan keberadaan anak bulan sama ada di atas ufuk ataupun tidak. Sekiranya anak bulan lahir sebelum matahari terbenam, maka bulan baharu akan bermula pada hari esoknya. Bagi anak bulan yang lahir selepas matahari terbenam, pengiraan hari dalam bulan tersebut digenapkan kepada 30 hari sebelum bulan baharu bermula.
iii) Takwim Wujud al-Hilal
Kaedah pengiraan bulan dalam takwim ini hampir sama dengan takwim hakiki tetapi mensyaratkan anak bulan hendaklah wujud di atas ufuk sama ada sebelum ataupun selepas matahari terbenam.
iv) Takwim Rukyah dan Hisab (Imkan al-Rukyah)
Pengiraan takwim ini ditentukan menerusi hasil cerapan anak bulan pada hari ke-29 bulan Hijrah dan memenuhi syarat imkan al-rukyah (kebolehnampakan anak bulan), iaitu:
Sekiranya cerapan anak bulan memenuhi syarat imkan al-rukyah pada hari ke-29 bulan Hijrah, maka penentuan awal bulan bermula pada hari esoknya dan jika sebaliknya, pengiraan hari dalam bulan tersebut digenapkan kepada 30 hari sebelum bulan baharu bermula.

Jadual Sejarah jenis takwim Hijrah yang digunakan di Malaysia.
| Tahun | Jenis Kalendar |
| 1969–1986 | Takwim Istilahi |
| 1986–1991 | Takwim Hakiki |
| 1992–1994 | Takwim Wujud al-Hilal |
| 1995–sekarang | Takwim Imkan al-Rukyah |
Kepentingan Takwim Hijrah
Takwim Hijrah amat penting dan diperlukan untuk menentukan hari-hari kebesaran agama Islam seperti 1 Muharam (Maal Hijrah), 10 Muharam (Hari Asyura), 12 Rabiulawal (Maulidur Rasul), 27 Rejab (Israk Mikraj), 15 Syaaban (Nisfu Syaaban), 27 Ramadan (Nuzul al-Quran), 1 Syawal (Hari Raya Aidilfitri), 9 Zulhijah (Hari Arafah) dan 10 Zulhijah (Hari Raya Aidiladha).
Selain itu, takwim Hijrah juga berkaitan rapat dengan penentuan permulaan tarikh sesuatu ibadat, terutamanya yang melibatkan rukun Islam seperti pembayaran zakat fitrah, haul zakat harta, pelaksanaan puasa Ramadan dan haji, selain tarikh puasa sunat, tempoh idah, tempoh kifarat, penentuan nasab serta tempoh mengandung.
Konsep Anak Bulan dalam Takwim Hijrah
Anak bulan dalam bahasa Arab dikenali sebagai hilal. Selain itu, fenomena tersebut ialah pantulan cahaya putih daripada bulan baharu bermula pada hari pertama hingga malam ketujuh bulan Hijrah. Menurut Ustaz Shahril Azwan Hussin, cahaya anak bulan umpama seutas benang halus yang dihamparkan di atas kain yang berwarna hitam. Selain itu, penampakan anak bulan hanya dapat dilihat pada waktu petang semasa hari cerapan. Pada kebiasaannya, proses cerapan anak bulan (rukyah al-hilal) di Malaysia memerlukan alat bantuan seperti teleskop, teodolit dan binokular.
Sejarah Kaedah Penetapan Awal Bulan Hijrah di Malaysia
Secara amnya, kaedah penentuan awal bulan hijrah yang digunakan di Malaysia sejak tahun 1995 ialah kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkan al-rukyah seperti yang telah dinyatakan di atas.
Walau bagaimanapun, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Analisis Rekod Cerapan Hilal Seluruh Malaysia pada 22 Jun 2006 untuk mengumpulkan rekod cerapan anak bulan seluruh Malaysia dan menganalisis parameter kenampakannya.
Hasil dapatan daripada jawatankuasa tersebut mendapati dua syarat asal imkan al-rukyah tersebut mustahil untuk berlaku pada waktu yang sama. Oleh itu, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan bahawa pemakaian syarat pertama sudah memadai untuk menandakan masuknya bulan baharu.
Cabaran iklim tropika yang terdiri daripada fenomena peralihan monsun, musim tengkujuh serta cuaca panas dan lembap pada garisan khatulistiwa sepanjang tahun menyebabkan pembentukan awan kerap kelihatan di kaki langit. Keadaan ini menyukarkan pencerap untuk memastikan bahawa anak bulan dapat dilihat setiap kali proses cerapan dilakukan.
Tambahan pula, negara yang berada di kawasan timur dunia mempunyai peluang kecil untuk melihat anak bulan kerana pergerakan anak bulan yang baru lahir bermula dari kawasan timur menuju ke barat. Hal ini bermakna pergerakan anak bulan ke kawasan barat memiliki umur yang semakin tinggi, kenampakan anak bulan semakin jelas dan berkemungkinan mampu dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan alat sokongan.

Oleh hal yang demikian, kriteria imkan al-rukyah baharu dicadangkan supaya kaedah hisab dapat dilaksanakan dengan lebih yakin sebagai ukuran bahawa anak bulan dikira kelihatan pada kedudukan tertentu walaupun cuaca mendung. Syarat ini berpandukan data anak bulan paling rendah dan pernah dilihat di Malaysia atau negara anggota Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).
Mesyuarat Pegawai Pegawai Kanan (SOM) MABIMS kali ke-44 yang berlangsung pada 11 November hingga 14 November 2019 di Singapura telah bersetuju dan mengesahkan bahawa kriteria imkan al-rukyah baharu MABIMS ialah ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang 3˚ dan jarak lengkung (anak bulan–matahari) tidak kurang 6.4˚ untuk dilaksanakan pada tahun 2021 atau tertakluk pada kesediaan negara anggota.

Setelah itu, kriteria baharu ini dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-118 yang bersidang pada 16 Februari hingga 17 Februari 2021 untuk mendapatkan persetujuan sebelum disembah maklum dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-257 pada 24 hingga 25 November 2021. Pada akhirnya, kriteria imkan al-rukyah baharu mula dikuatkuasakan pada 1 Muharam 1443.
Pada masa yang sama, Mesyuarat Jawatankuasa MKI turut bersetuju titik rujukan baharu paling barat Malaysia bagi hitungan takwim Hijrah ialah Pulau Perak, Kedah berkuat kuasa pada tahun 1444 Hijrah. Titik rujukan baharu tersebut terletak 114 kilometer lebih barat daripada titik rujukan di Tanjung Chinchin, Langkawi sebelum ini. Perubahan titik rujukan ini penting untuk menetapkan matla’ negara, iaitu sesuatu kawasan yang mempunyai waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, iaitu dengan kata lain, negara yang berkongsi waktu siang dan malam sama.
Prosedur Pengisytiharan Permulaan Bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah
Terdapat 29 buah lokasi cerapan rasmi di seluruh Malaysia bagi penetapan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah. Lokasi cerapan yang paling timur berada di Tanjung Dumpil, Putatan manakala lokasi cerapan yang paling barat pula berada di Pemandangan Indah, Pulau Langkawi.
Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri yang dilantik oleh sultan/raja akan melaksanakan proses cerapan anak bulan di semua lokasi berkenaan bermula dari waktu matahari terbenam hingga waktu anak bulan terbenam. Sekiranya satu daripada lokasi tersebut mendapati anak bulan kelihatan, jawatankuasa tersebut akan melaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pengisytiharan dibuat.
Dalam keadaan tertentu, walaupun fasa ijtimak (kelahiran anak bulan) berlaku selepas matahari terbenam yang membawa kepada pengenapan hari ke-30 pada esoknya, aktiviti cerapan perlu diteruskan oleh jawatankuasa yang dilantik untuk mengesahkan sesuatu dakwaan penampakan anak bulan jika berlaku dalam kalangan orang awam melalui penyiasatan cerapan tersebut.
Kesimpulannya, takwim qamari atau takwim Hijrah mempunyai kaedah yang sangat unik untuk menentukan permulaannya. Hal ini dikatakan demikian kerana penentuannya memerlukan kaedah spesifik dan memerlukan pelbagai data cerapan untuk menghasilkan kriteria yang tepat sebagai ukuran penampakan anak bulan.
Penterjemahan keberadaan jasad samawi di langit dalam penentuan masa bagi kehidupan hamba-Nya menunjukkan kebesaran Allah SWT yang perlu dihayati oleh umat manusia. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sesungguhnya, pada penciptaan langit-langit dan juga bumi serta pertukaran malam kepada siang, nescaya terdapat padanya tanda-tanda kebesaran Allah bagi golongan ulul albab.”
(Surah Ali ‘Imran 3:191)
* Artikel ini dipetik dan diubah suai daripada pembentangan kertas kerja bertajuk “Kaedah Penetapan Awal Ramadan di Malaysia” dalam Seminar Ambang Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2025 pada 19 Februari 2025 di Dewan Syarahan Masjid Negara.