Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Geneva – “Sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk hidup bersatu padu, dengan menghormati dan saling menyokong antara satu dengan lain tanpa mengira bangsa mahupun negara. Inilah yang menjadi tunjang kepada kekuatan umat Islam pada peringkat global.” 

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan kecil zakat daripada MAIPs sempena keberangkatan baginda ke Geneva, Switzerland, kepada The Islamic and Cultural Foundation of Ahl el Beit (S) di Geneva, Switzerland, semalam.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Sumbangan agihan zakat sebanyak RM1,000 telah diterima oleh kakitangan yayasan tersebut, Moh-Ulysse.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan kecil zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada The Islamic and Cultural Foundation of Ahl el Beit (S) di Geneva, Switzerland.

Sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs bagi menyalurkan bantuan kecil kewangan yang akan dimanfaatkan oleh masjid bagi penganjuran program agama, sumbangan kepada fakir miskin atau asnaf dan sebarang kegiatan sosial dan kemasyarakatan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan kepentingan ummatan wahidah atau umat yang satu dalam pembinaan kekuatan Islam di seluruh dunia. 

Menurut Tuanku Raja Muda, konsep tersebut bukan sahaja mencerminkan ikatan yang erat sesama kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW, tetapi juga sebagai satu tanggungjawab bersama-sama untuk saling membantu, mengeratkan ukhwah dan menyebarkan rahmat Islam di seluruh alam.

Baginda juga menyeru agar umat Islam terus berganding bahu untuk memajukan lagi pendidikan Islam di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan generasi muda agar dapat terus menjaga maruah agama dan bangsa serta melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam yang sejati. 

Sebagai rekod, The Islamic and Cultural Foundation of Ahl el Beit (S) memainkan peranan sebagai yayasan yang menyediakan ruang dan kemudahan yang sesuai buat masyarakat serta umat Islam untuk menunaikan solat, menyambut perayaan atau upacara keagamaan, serta sebagai pusat pendidikan agama dan pembelajaran untuk kanak-kanak.

Kredit Foto: Media MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi