Oleh H.R. Hafiz
Diterbitkan pada 8 Disember 2024, 19:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Kepong – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau dikenali sebagai PERKIM cawangan UIAM Pagoh telah menganjurkan program Jom Celik Membaca: Ibadah dan Iqra’ yang bertempat di Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Bukit Kepong, Muar, Johor, pada 7 Diember 2024.

Objektif program ini dijalankan adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat orang Asli yang beragama Islam, terutamanya di kampung tersebut mengenai kefahaman Islam yang lebih jelas daripada segi aspek ibadah, bacaan Al-Quran dan Perkim UIAM Pagoh juga turut ingin merapatkan hubungan silaturahim antara warga luar bersama-sama masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.

Menariknya, suatu modul digital telah dibangunkan oleh Biro Hal Ehwal Orang Asli PERKIM UIAM Pagoh bersama-sama dengan Biro Hal Ehwal Dakwah Islam PERKIM UIAM Pagoh untuk digunakan sepanjang program tersebut. Modul ini telah dirangka serta disusun dengan ringkas, padat serta mudah agar program tersebut dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Sepanjang program Jom Celik Membaca: Ibadah dan Iqra’ berlangsung, terdapat juga aktiviti kebudayaan setempat seperti menyumpit diadakan.

Pada masa yang sama, program ini juga turut diselitkan dengan beberapa slot aktiviti kebudayaan masyarakat Orang Asli seperti aktiviti menyumpit menggunakan sumpit tradisional Orang Asli serta bermain permainan tradisional Orang Asli yang digelarkan ‘Kercang’.

Aktiviti kebudayaan ini merupakan idea yang diketengahkan oleh Ketua Penyelidikan Flagship Tirkah Rimba UIAM Pagoh, Dr. Suhaizi Suhaimi, merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu UIAM Pagoh. Beliau turut serta dalam menjayakan program ini selaku tenaga pengajar dalam suatu slot program tersebut. Program ini  mendapat sambutan yang amat mengalakkan bukan sahaja masyarakat beragama Islam malah  penduduk Orang Asli yang bukan beragama Islam di kampung tersebut.

Antara aktiviti yang diadakan dalam program Jom Celik Membaca: Ibadah dan Iqra’.

Program berkonsep ini akan diteruskan oleh PERKIM UIAM Pagoh di beberapa perkampungan Orang Asli sekitar Muar, Johor. Walaupun begitu, aktiviti yang bakal dijalankan sedikit berbeza namun objektif program tersebut tetap sama. Perkim UIAM Pagoh di bawah biro Hal Ehwal Orang Asli atau Indigenious Affairs Bureau sangat komited dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan masyarakat Orang Asli yang beragama Islam demi membina ukhukwah Islamiyyah bagi memenuhi cita-cita masyarakat MADANI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi