Diterbitkan pada 4 Jun 2026, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha menangani isu transgender di Malaysia memerlukan kerangka yang menyeluruh merangkumi aspek perundangan, perubatan dan dakwah tatkala negara berhadapan dengan ancaman normalisasi budaya tersebut secara terbuka di ruang awam dan media.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Pg Ismail Pg Musa berkata, kebimbangan utama pada masa ini ialah kecenderungan masyarakat menormalisasikan budaya transgender menerusi medium hiburan.

Menurut beliau, elemen ini sering kali diselitkan secara halus melalui penerbitan filem mahupun pentas komedi.

“Saya melihat pentas hiburan berpotensi besar membawa kepada proses normalisasi.

“Apabila kita seronok melihatnya, lama-kelamaan perkara negatif ini dinormalisasikan sedangkan dalam Islam, hukumnya jelas apabila melibatkan perbuatan tasyabbuh (penyerupaan),” katanya dalam program Bicara Buku Transgender di Malaysia: Perspektif Islam dan Perundangan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas sebagai bekas Pendakwa Syarie mendedahkan, proses pendakwaan kes melibatkan golongan transgender di mahkamah syariah ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah pembuktian, terutamanya akibat daripada perubahan trend fesyen semasa.

“Trend sekarang melibatkan rekaan pakaian uniseks sehingga pakaian lelaki dan perempuan kadangkala sukar dibezakan.

“Dari segi pendakwaan dan pembuktian di mahkamah, hal tersebut bukan suatu perkara yang mudah, justeru wujud keperluan memanggil pakar bagi menyokong pembuktian kes,” jelas beliau.

Tambah beliau, kelancaran proses pendakwaan turut dipengaruhi oleh perbezaan peruntukan enakmen jenayah syariah yang tidak seragam di setiap negeri apabila sesetengah negeri jauh lebih ketat berbanding dengan negeri lain.

“Ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1982 memutuskan bahawa penukaran jantina melalui pembedahan haram di sisi syarak.

“Perubahan fizikal atau alat kelamin semata-mata tidak boleh dijadikan asas seseorang kebal daripada undang-undang,” katanya.

Menyentuh tentang penyelesaian dan pendekatan hukuman, YBrs. Dr. Pangeran Ismail berpandangan bahawa sistem perundangan jenayah syariah sewajarnya mengadaptasi elemen keadilan restoratif (restorative justice), selain hukuman bersifat punitif.

“Kita pernah meminta mahkamah syariah untuk mengeluarkan perintah khidmat masyarakat, namun kita perlu memastikan bahawa jentera pelaksana daripada jabatan agama Islam negeri bersedia sepenuhnya untuk menjayakan program sebegini,” ujarnya.

Tegas beliau, seluruh lapisan masyarakat memikul tanggungjawab mencegah kemungkaran, tetapi usaha itu mesti digerakkan tanpa mewujudkan jurang stigma.

Beliau memaklumkan bahawa gerak kerja dakwah wajib dilaksanakan secara rasional bagi membuka ruang untuk golongan ini kembali kepada fitrah.

Penulisan buku Transgender di Malaysia: Perspektif Islam dan Perundangan yang digerakkan sejak tahun 2014 bertitik tolak daripada keperluan bahan hujahan pada peringkat mahkamah bagi menangani kes yang melibatkan Kecelaruan Identiti Jantina (GID).

Selain itu, buku ini memuatkan lima bab utama yang berkaitan dengan fitrah manusia dari perspektif al-Quran dan maqasid syariah, faktor serta gejala transgender dalam konteks undang-undang sivil dan jenayah syariah di Malaysia.

Majlis bual bicara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Editor Bahagian Buku Umum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YM Tengku Fauziah Ku Mat, karyawan DBP serta para pengunjung PBAKL 2026.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi