Diterbitkan pada 27 Mei 2026, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau — Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru umat Islam agar terus menghayati nilai mulia dan semangat pengorbanan dalam kehidupan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah.

Baginda bertitah, nilai murni tersebut penting bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta memajukan ummah secara menyeluruh.

Titah baginda, “Sambutan Aidiladha ini terus menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh penghayatan nilai keikhlasan, ketaatan dan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian.”

“Nilai murni ini menjadi pemangkin dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan berdaya maju, di samping terus mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara,” titah baginda ketika berkenan berangkat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau, pagi ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed turut serta menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama dengan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dataran Istiadat Istana Arau, pagi ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Baginda sekeluarga turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat negeri Perlis.

Lebih 1200 orang jemaah hadir menunaikan solat Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau.

Lebih 1200 orang jemaah yang terdiri daripada anak kariah Kota Raja Arau, rakyat Perlis dan umat Islam pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Aidiladha dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah islamiah.

Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Imam Besar Negeri Perlis, Ustaz Amnan Muthqa Azanol.

Khutbah Aidiladha bertajuk “Pengorbanan Memajukan Umat Islam” pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Aidiladha disambut dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah islamiah.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi