Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam keras tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump lantaran desakannya terhadap beberapa buah negara Islam agar menormalisasikan hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid melalui satu kenyataannya pada Selasa, gesaan tersebut dibuat ketika dunia masih menyaksikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza akibat daripada serangan berterusan rejim Zionis Israel.
Menurut beliau, tindakan menggesa normalisasi hubungan ketika ribuan rakyat Palestin terbunuh dan kemusnahan besar berlaku di Gaza merupakan sesuatu yang tidak bermoral.
“Langkah itu merupakan suatu tindakan yang tidak bermoral untuk menggesa normalisasi dengan Israel ketika darah rakyat Palestin masih mengalir di Gaza,” katanya.
MAPIM turut menyifatkan desakan tersebut sebagai usaha politik bagi menyelamatkan kedudukan diplomatik Israel yang semakin terdedah pada mata masyarakat antarabangsa sebagai rejim aparteid dan penjajah.
Dalam kenyataan sama, MAPIM menegaskan bahawa Perjanjian Abraham sejak awal tidak menyelesaikan akar konflik Palestin yang sebenar, termasuk isu penjajahan haram, rampasan tanah, pembinaan penempatan haram dan penafian hak rakyat Palestin untuk merdeka.
“Normalisasi tidak membawa keamanan yang adil, sebaliknya hal itu memberikan ruang kepada Israel untuk memperluas pengaruh politik dan ekonominya, sambil terus melakukan kekejaman kepada rakyat Palestin tanpa akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan itu.
Selain itu, pihaknya memuji pendirian Pakistan yang menolak tekanan Amerika Syarikat berkaitan dengan usaha normalisasi tersebut.
Menurut Mohd Azmi, ketegasan Pakistan membuktikan bahawa prinsip dan maruah sesebuah negara masih boleh dipertahankan walaupun berhadapan dengan tekanan kuasa besar dunia.
Tegas pihaknya, rakyat di kebanyakan negara Islam masih menolak normalisasi dengan Israel kerana melihat wujudnya hipokrasi Barat dalam isu hak asasi manusia dan keadilan antarabangsa.
Jelasnya lagi, usaha mengaitkan Perjanjian Abraham dengan rundingan melibatkan Iran menunjukkan bahawa isu Palestin sedang dimanipulasikan demi kepentingan geopolitik Amerika Syarikat dan Israel di Asia Barat.
MAPIM memaklumkan bahawa Palestin bukan sekadar isu diplomatik biasa, sebaliknya melibatkan perjuangan pembebasan rakyat yang ditindas daripada penjajahan.
“Sebarang normalisasi tanpa pembebasan Palestin merupakan pengkhianatan terhadap hak rakyat Palestin,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, MAPIM menyeru negara Islam agar memperkukuh kesatuan politik, ekonomi dan diplomatik bagi memberikan tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza.
“Masyarakat sivil antarabangsa dan seluruh umat Islam perlu menolak agenda normalisasi yang disifatkan cuba memadamkan perjuangan rakyat Palestin.
“Selagi penjajahan Zionis berterusan, perjuangan mempertahankan Palestin menjadi tanggungjawab moral umat manusia,” kata Mohd Azmi.