Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 07:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kelangsungan ilmu tasawuf ketika ini yang disifatkan semakin langka berpunca daripada kekurangan ulama dan pakar dalam bidang ini, lantas meninggalkan masyarakat tanpa bimbingan murabbi dan mursyid yang sebenar.

Menurut Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, YBrs. Dr. Muhammad Yusry Mazlan, walaupun perbincangan tentang tasawuf sudah meluas, kandungannya masih tertumpu pada tasawuf muamalah (amali asas) dan tidak menyentuh tasawuf mukasyafah (lanjutan).

Jelasnya lagi, pada hari ini, wujud kecenderungan segelintir masyarakat yang membicarakan soal tasawuf tetapi menolak amalan bertarekat, serta menghukum amalan tawassul dan golongan yang menziarahi kubur sebagai suatu kesesatan.

“Kerosakan ini turut didukung oleh golongan mubtadiʻ (pembuat bidaah) dan golongan yang gemar membidaahkan orang lain, lantas pada akhirnya hati umat Islam berpecah sehingga memberikan kesan negatif kepada generasi muda.

“Sepatutnya, seseorang yang mengajarkan ilmu tasawuf mesti menerima disiplin ilmu tersebut secara menyeluruh,” katanya dalam program Suara dari Anjung: Dewan Tamadun Islam bertajuk “Tasawuf: Gerbang Kerohanian dalam Pembangunan Ketamadunan Umat” di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Selasa.

Ujar beliau, dakwaan sesetengah pihak yang meninggalkan ibadah dengan alasan telah mencapai maqam (kedudukan kerohanian) yang tertinggi merupakan suatu pembohongan yang nyata, malah merupakan perbuatan fasiq dan munafik.

Beliau menyifatkan golongan ini sebagai ahli sufi palsu atau sufi jadian.

“Hati manusia ialah al-latifah al-rabbaniyyah, iaitu sentuhan kelembutan daripada Allah SWT dalam diri seseorang yang perlu dibersihkan secara rohani menerusi ibadah seperti solat, bacaan al-Quran dan wirid.

“Nabi Muhammad SAW yang berada pada maqam tertinggi dan bersifat maksum tetap beribadah dengan tekun bagi menzahirkan sifat kehambaan kepada Allah SWT,” tegasnya.

Beliau berkata, tanpa ibadah, perjalanan rohani seorang salik (penempuh jalan rohani) tidak akan berganjak dari tempatnya.

Bagi Dr. Muhammad Yusry, tarekat berfungsi sebagai pelengkap yang mempercepat proses seorang salik sampai kepada makrifat Allah SWT.

Perjalanan ini amat mementingkan aspek pengalaman rasa rohani yang terhasil daripada ibadah yang istiqamah, bukan sekadar bergantung kepada rujukan buku semata-mata.

“Kemuncak kerohanian bagi ahli sufi dan maqam paling tinggi dalam tasawuf ialah cinta kepada Allah SWT (al-mahabbah) yang bermula dari tapaknya melalui taubat,” katanya.

Mengulas lanjut tentang tajalli, beliau berkata, konsep ini merujuk suatu keadaan yang menjadi jelas terhadap kewujudan Allah SWT, sifat, nama, dan perbuatan-Nya dalam jiwa seseorang.

“Tahap ini melahirkan individu yang bebas daripada sifat riyak, ego, ujub, dan sikap memandang rendah terhadap orang lain,” ujarnya.

Namun begitu, tegas beliau, tahap tajalli tidak dapat dicapai melainkan seseorang melalui dua proses utama terlebih dahulu, iaitu takhalli yang bermaksud mengosongkan diri daripada sifat yang dilarang oleh syarak dan tahalli dengan makna menghiasi diri dengan sifat yang terpuji.

“Terdapat segelintir ulama sufi menggariskan konsep tajalli bermula daripada syariat dengan jalan mujahadah (melawan hawa nafsu), tarekat dengan proses riyadah (latihan rohani), hakikat dengan elemen muraqabah (pengawasan diri), dan makrifat dengan unsur musyahadah (penyaksian hati).

“Secara praktikalnya, proses ini perlu dilalui menerusi jalan tarekat,” jelas beliau.

Beliau menekankan bahawa perjalanan kerohanian seseorang Muslim memerlukan bimbingan yang betul bagi mengelakkan penyelewengan akidah dan syariat.

Beliau turut menyeru agar masyarakat kembali kepada kitab turath dan seterusnya melahirkan para ulama agar dapat mengimbangi segala kecelaruan yang wujud pada masa ini, termasuk akhlak generasi muda.

“Generasi muda yang mendalami ilmu tasawuf, ilmu fiqh dan ilmu akidah akan terdidik dan terlatih dengan kefahaman agama, seterusnya melahirkan banyak alim ulama dan mursyid yang menjadi teladan umat.

“Tidak timbul lagi soal remaja yang jahil dan tidak pandai membaca al-Quran, tiadanya orang menolak tasawuf kerana para ulama semakin bertambah,” katanya.

Sementara itu, wacana Suara dari Anjung: Dewan Tamadun Islam tersebut dikendalikan oleh Pengacara TV AlHijrah, YBrs. Tuan Haji Hanan Abdul Rahman selaku moderator.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Bahagian, Ketua Editor, karyawan DBP, serta pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi