Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 07:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pihak berkuasa Islam negeri di Malaysia perlu mengawal selia tarekat tasawuf yang sahih bagi mengekang penyebaran ajaran sesat, di samping memelihara warisan keilmuan dan jati diri umat Islam di alam Melayu.

Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama dan Falsafah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Madya Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti berkata demikian dalam program Suara dari Anjung: Dewan Tamadun Islam bertajuk “Tasawuf: Gerbang Kerohanian dalam Pembangunan Ketamadunan Umat” di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Selasa.

Menurut beliau, isu pengamalan tarekat tasawuf dalam negara mula disemak kembali setelah mendapat teguran daripada Majlis Raja-Raja bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mempunyai bidang kuasa mengeluarkan fatwa dan perlu menyerahkan kepada pihak negeri untuk menentukan penguatkuasaannya.

Jelas beliau lagi, kesedaran terhadap keperluan pengawalseliaannya rentetan daripada keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 2000 yang pernah mengharamkan kitab tasawuf, Siyar al-Salikin pada ketika itu.

Beliau berkata, keputusan tersebut menimbulkan kegusaran pada peringkat negeri berhubung dengan naratif hukum syarak yang semakin dikawal oleh pihak persekutuan.

Melihat situasi tersebut, ujar beliau, mantan Mufti Negeri Sembilan, Allahyarham Sahibus Samahah Dato’ Haji Murtadza Ahmad mengambil inisiatif mengadakan Munaqasyah Tasawuf pada tahun 2003.

“Hasil daripada resolusi perbincangan itu, Dewan Undangan Negeri meluluskan Enakmen Tarekat Tasawuf pada tahun 2005.

“Setahun sesudah itu, semua aliran tarekat tasawuf mula dikumpulkan untuk didaftarkan dan diperakukan secara rasmi,” katanya.

“Apabila sesuatu tarekat tasawuf diperakukan oleh jabatan mufti dan kerajaan negeri, maka pengamalannya terlindung daripada tuduhan yang menyesatkan.

“Jika terdapat individu yang jahil cuba menyebarkan selain ilmu tasawuf sunni, dia perlu ditangkap dan didakwa kerana melakukan perkara yang menyalahi syarak,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa majoriti negeri di Malaysia ketika ini sudah mempunyai inisiatif dari sudut perundangan dan pendidikan untuk menjaga warisan keilmuan tasawuf.

Mengulas lanjut tentang disiplin ilmu tersebut, beliau turut menekankan kesinambungan erat antara ilmu tasawuf dengan bangsa Melayu.

Kata beliau, Islam tersebar ke Nusantara tanpa melalui peperangan, dan hal ini didorong oleh pendekatan dakwah yang bertasawuf.

“Antara persuratan Melayu yang paling subur di alam Melayu ialah kitab tasawuf.

“Jika kita merujuk koleksi manuskrip di Perpustakaan Negara Malaysia, naskhah tasawuf adalah yang paling banyak, dan kita memiliki tokoh ulung seperti Syeikh Abdul Samad al-Falimbani,” jelasnya.

“Orang Melayu yang menolak untuk belajar tasawuf ibarat dia melupakan jati dirinya sendiri.

“Masyarakat Nusantara sememangnya lembut dan sangat dekat dengan adab serta akhlak yang dibentuk melalui ilmu tasawuf,” ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ilmu kerohanian ini tidak sunyi daripada cabaran luaran dan cabaran dalaman.

Cabaran luaran yang datang daripada pihak yang memusuhi tasawuf akibat daripada salah faham dan fitnah, manakala ancaman dari dalam yang lebih berbahaya berpunca daripada pengenalan unsur mistik oleh mereka yang jahil.

Bagi YBhg. Dato’ Dr. Ayman, ruang untuk berbicara mengenai tasawuf tidak seharusnya diberikan sewenang-wenangnya kepada orang awam kerana hal tersebut boleh menjadi musibah yang merosakkan ilmu tersebut.

“Terdapat individu yang tidak mempunyai ilmu dan berpenampilan seperti ahli sufi, tetapi mereka tiada kelayakan untuk berbicara ilmu tasawuf, maka muncul ajaran yang janggal dan tidak benar,” katanya.

Sementara itu, wacana Suara dari Anjung: Dewan Tamadun Islam tersebut dikendalikan oleh Pengacara TV AlHijrah, YBrs. Tuan Haji Hanan Abdul Rahman selaku moderator.

Program tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Bahagian, Ketua Editor, karyawan DBP, serta pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi