Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 07:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Program Menyubur Emosi Memberkas Komunikasi anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh di Pertubuhan Dar Maryam pada Sabtu memperlihatkan suatu inisiatif memperkasakan kemahiran komunikasi dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar tahfiz.

Program komuniti yang melibatkan penyertaan sebanyak 30 orang pelajar tahfiz itu merupakan usaha strategik mahasiswa universiti berkenaan melalui Kursus Usrah in Action 2.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Pengetua Pertubuhan Kebajikan Dar Maryam, Encik Raden Anwar Raden Mohd Yassin.

Dalam ucapannya, beliau berkata, usaha sama yang dijalinkan ini menjadi titik tolak kepada pelaksanaan pelbagai program lanjutan bagi membina karakter terpuji dan meningkatkan keterampilan diri dalam kalangan pelajar tahfiz.

“Penganjuran program seumpama ini membuktikan bahawa komunikasi merupakan seni yang mampu diasah bagi membina keyakinan diri yang mapan dan melahirkan pendakwah yang mempunyai keluhuran budi pekerti pada masa hadapan,” katanya.

Pelaksanaannya yang berlangsung selama satu hari tersebut merangkumi pelbagai pengisian seperti projek penanaman anak pokok betik, Pertandingan Bercerita Kisah Nabi untuk pelajar sekolah rendah, dan Pertandingan Mimbar Da’i untuk pelajar sekolah menengah.

Selain itu, Bengkel Pencak di Pentas Impian yang disampaikan oleh Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM Pagoh selaku penasihat program, YBrs. Dr. Nor Hafuza Muhammad Arif mengaplikasikan modul pengucapan awam yang dihasilkan oleh mahasiswa dalam bentuk naratif, berpandukan buku cerita berjudul Pencak Faris di Pentas Impian.

Dalam bengkel tersebut, Dr. Nor Hafuza menegaskan bahawa ilmu komunikasi perlu dikuasai sebaik-baiknya, terutamanya dalam penyebaran ilmu agama.

“Ilmu yang disampaikan akan lebih mudah difahami oleh pendengar sekiranya penyampai memiliki kompetensi yang tinggi dalam aspek komunikasi,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi