Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa setiap pelajar perlu memiliki pegangan agama yang kukuh, serta menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.
Baginda menegaskan, kejayaan dalam bidang akademik dan sukan perlu disertakan nilai keagamaan, disiplin diri, serta akhlak yang baik agar kecemerlangan yang dicapai sentiasa diberkati.
“Seimbangkan komitmen antara latihan dengan pelajaran agar kedua-duanya dapat dikuasai dengan baik.
“Gunakan semangat juang dan daya tahan untuk cemerlang dalam akademik,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri Perlis) 2026 di Kangar, baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah, para pelajar hendaklah sentiasa memelihara solat dan menjaga akhlak walaupun sibuk mengejar kejayaan dalam pelbagai bidang.
“Ilmu yang diberkati dan kesihatan yang baik merupakan kurniaan Allah SWT kepada mereka yang sentiasa menjaga hubungan dengan-Nya,” titah baginda.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menekankan bahawa disiplin merupakan asas utama bagi mencapai kejayaan dalam apa-apa juga bidang yang diceburi.
Baginda menyeru para pelajar agar mengamalkan sikap menepati masa, rajin berlatih, patuh kepada arahan, serta bertanggungjawab dalam setiap perkara yang dilakukan.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengetua, YBrs. Encik Azzuadi Jusoh bersama-sama dengan Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Tuan Haji Che Rasaidi Che Yob serta Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Encik Johari Mohd Darus.
Program tersebut melibatkan sebanyak 254 orang pelajar yang terdiri daripada 151 orang lelaki dan 103 orang perempuan dari sekolah tersebut.