Diterbitkan pada 18 April 2026, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh usaha memelihara kesucian dan ketulenan teks al-Quran menerusi pelaksanaan Program Pemurnian al-Quran di perairan berhampiran Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir menyaksikan proses tersebut yang melibatkan pelupusan abu al-Quran seberat 1.5 tan ke laut.

Proses pelupusan itu dilaksanakan di atas kapal peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), KM Tun Fatimah.

Abu berkenaan terhasil daripada proses pemurnian 8672 unit teks serta bahan al-Quran yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta.

Proses pelupusan dilakukan pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari daratan dengan kedalaman sekitar 10 meter, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

Dalam perkembangan berkaitan, KDN turut mempergiatkan Ops Mulia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini, sebanyak 1758 buah premis diperiksa dengan nilai penguatkuasaan mencecah RM378,171.92.

Hasil operasi tersebut, sebanyak 6620 unit teks dan bahan al-Quran disita akibat daripada pelanggaran peruntukan undang-undang, manakala 44 kertas siasatan juga dibuka untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Program Jom Exchange al-Quran (JEQ) yang diperkenalkan sejak tahun 2023 terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan penganjuran 725 siri program di seluruh negara.

Inisiatif itu merekodkan pertukaran sebanyak 76 235 naskhah mushaf yang rosak, usang atau tidak diperakui dengan naskhah mushaf baharu yang diiktiraf oleh KDN.

Program JEQ turut menerima pengiktirafan daripada Buku Rekod Malaysia (MBR) sebagai Program Pertukaran al-Quran Terbesar, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak kementerian dalam usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemeliharaan al-Quran.

KDN menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga kesucian al-Quran melibatkan keseluruhan rantaian, termasuk aspek penerbitan, pencetakan, pengimportan, pengedaran, proses pemurnian dan pelupusan, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan dengan itu, pihaknya berikrar untuk terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan kawal selia bagi memastikan kemaslahatan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara.

Kredit Foto: Kementerian Dalam Negeri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi