Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Karnival Adat dan Nilai (ADNI) anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi menjadi medium untuk mencungkil bakat murid dalam bernasyid, menghafal al-Quran, tilawah serta menulis khat bertemakan kecintaan terhadap al-Quran.
Ketua Panitia Pendidikan Islam, Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA), YBrs. Encik Mohd Majdi Sulaiman berkata, karnival yang diadakan pada Sabtu lalu bertujuan memberikan peluang kepada murid untuk menunjukkan bakat mereka dalam bidang Pendidikan Islam.
“Ramai murid mempunyai bakat terpendam yang tidak ditonjolkan disebabkan mereka tidak mempunyai medium atau platform yang boleh digunakan untuk mengetengahkan bakat mereka.
“Ada antara murid yang mempunyai suara yang lunak dan boleh melontarkan nada suara yang tinggi dalam menyanyikan lagu nasyid. Saya dapat lihat Karnival ADNI ini adalah platform yang paling sesuai untuk mereka menunjukkan bakat,” ujarnya.
Karnival ini dianjurkan setiap tahun dan mempertandingkan beberapa pertandingan termasuklah nasyid berkumpulan, tilawah sekolah rendah dan sekolah menengah, hafazan sekolah rendah dan menengah, serta pertandingan khat sekolah rendah dan menengah.
Hampir semua sekolah rendah dan menengah di Langkawi dan Pulau Tuba menyertai Karnival ADNI bagi tahun 2026.
Johan kategori tilawah sekolah rendah, Badriyya Hannani Baharon berkata, dia amat gembira dapat menyertai pertandingan tilawah pada tahun ini.
“Tahun ini saya tidak sangka akan menjadi johan dalam pertandingan tilawah, ramai peserta lain yang mempunyai kemahiran lebih bagus daripada saya dalam membaca al-Quran.
“Namun, saya tetap bersyukur kerana dapat menaikkan nama sekolah saya serta dapat memberikan hadiah yang istimewa buat ustaz dan ustazah yang telah bertungkus lumus melatih dan mendidik saya sehingga menjadi juara,” katanya lagi.
SKPA menjadi johan keseluruhan bagi keseluruhan kategori sekolah rendah, manakala Maktab Mahmud Langkawi menjadi johan keseluruhan bagi kategori sekolah menengah.