Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Dalam usaha menyemarakkan pengisian kerohanian pada bulan Ramadan serta mendekatkan khalayak dengan wacana ilmu, penganjuran Forum Puasa: Memurnikan Rohani dan Menyegarkan Jasmani yang berlangsung di Pentas Utama, AEON Mall Kota Bharu pada Sabtu mengupas hikmah dan manfaat ibadah berkenaan secara menyeluruh dalam konteks spiritual dan fizikal.
Forum anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan AEON Mall Kota Bharu itu diadakan bersempena dengan Program Ramadan Perdana Peringkat Negeri Kelantan 2026.
Selain itu, forum tersebut menampilkan gandingan ahli panel yang terdiri daripada Imam Besar Negeri Kelantan, Dr. Muhammad Hana Pizi Abdullah dan Pegawai Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Encik Mohd Hakim Zakaria.
Sesi perkongsian wacana berkenaan dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Risiko dan Inspektorat (MARA), Tuan Haji Nik Syuharul Apizo Safie selaku moderator.

Dalam forum tersebut, Dr. Muhammad Hana menekankan kepentingan menghargai kedatangan bulan Ramadan, selain menyarankan seluruh lapisan masyarakat, khususnya di negeri itu agar menghayati nikmat berpuasa sepanjang bulan berkenaan.
Sementara itu, Nik Syuharul menegaskan bahawa ibadah puasa sebagai contoh teladan yang perlu diaplikasikan pada bulan lain, terutamanya dalam aspek mengawal pengambilan makanan demi menjamin tahap kesihatan berada dalam keadaan baik.
Majlis perasmian forum berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Dasar DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa.
Beliau dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa kagum dengan kehadiran para pengunjung yang amat menggalakkan.
Ujar beliau, sambutan tersebut memberikan sentuhan semangat kepada pihak DBP dan AEON Mall untuk memastikan program sedemikian dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang, dan tidak hanya terhad pada bulan Ramadan sahaja.
“Ilmu merupakan pendinding buat setiap manusia.
“Oleh itu, usaha memperluas program yang mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat perlu diteruskan,” jelas beliau.

Terdahulu, Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail dalam ucapan aluan-aluannya menjelaskan bahawa nilai keagamaan amat penting dan selari dengan aspirasi negara, terutamanya di negeri Kelantan.
Tegas beliau, penganjuran program ini merupakan satu usaha berterusan DBP Wilayah Timur bagi membentuk adab dan keluhuran akhlak masyarakat pada hari ini,” ujarnya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama bagi menjayakan program tersebut.
Selain forum, pengisian majlis lain turut merangkumi alunan bacaan ayat suci al-Quran, pengagihan bubur lambuk, serta penyerahan sumbangan kewangan Aidilfitri daripada AEON Mall kepada para pelajar asnaf dari sekolah terpilih.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Stor AEON Mall Kota Bharu, Puan Siti Meriam; barisan warga JPN Kelantan, kakitangan AEON Mall Kota Baharu, para guru, pelajar sekolah dan wakil pertubuhan bukan kerajaan.